Ketidaktentuan geopolitik global jejas prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ketidaktentuan geopolitik global jejas prestasi ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit yang mencecah paras tertinggi berbanding dolar AS dalam tempoh sembilan bulan semalam, ditutup rendah hari ini susulan peningkatan ketegangan terbaharu di rantau Asia Barat.

Seorang penganalisis berkata pembunuhan komander tentera Iran, Qasem Soleimani dalam satu serangan udara Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, Iraq, pada pagi Jumaat waktu tempatan, hanya mencetuskan ketidaktentuan geopolitik global.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1005/1035 berbanding dolar AS daripada paras 4.0850/0900, semalam.

“Walaupun harga minyak mentah Brent naik 3.8 peratus kepada AS$68.79 setong, ringgit susut akibat kebimbangan mengenai impak ketegangan itu terhadap aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata serangan udara Washington itu turut mendapat kecaman beberapa negara kuasa besar tentera termasuk China dan Rusia manakala Iran berikrar untuk bertindak balas.

“Apa yang kita akan lihat adalah peningkatan ketegangan dan rantau Asia Barat yang kaya sumber minyak, akan terus menjadi ‘lokasi panas’ sehinggalah keadaan kembali reda,” katanya.

Laporan awal media menyatakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengarahkan serangan udara tersebut atas alasan “tindakan pertahanan demi melindungi petugas negara itu di luar negara” yang bertujuan menghalang “serangan baharu Iran pada masa akan datang.”

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0363/0401 berbanding 3.0329/0375 pada penutupan semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7936/7974 daripada 3.7529/7582.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3577/3637 daripada 5.3971/4058 dan tinggi berbanding euro kepada 4.5675/5717 daripada 4.5760/5824.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini