Ringgit dijangka alami tekanan minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka alami tekanan minggu ini


KUALA LUMPUR: Dagangan ringgit dijangka mengalami tekanan minggu ini berikutan ketidaktentuan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah.

Penganalisis berkata, ringgit menunjukkan momentum meningkat yang kukuh bagi permulaan 2020 sebelum menyusut, dan dijangka meneruskan keadaan itu sejajar mata wang negara pesat membangun lain.

“Harga minyak mentah dijangka pada momentum menaik bagi minggu-minggu akan datang, namun sentimen geopolitik akan menjejaskan keyakinan perniagaan. Memandangkan Iran berikrar untuk membuat serangan balas, kami menjangkakan keadaan itu memuncak lebih pantas berbanding jangkaan.

“Masalah itu juga akan menyebabkan perdagangan global menyusut lagi. Situasi berkenaan pasti memburukkan lagi ekonomi selain menjangkakan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi lebih suram. Ini kerana China ialah rakan utama Iran dan pembeli utama minyak negara itu,” katanya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, dilaporkan menggesa pihak yang berkaitan, khususnya AS, supaya tetap tenang dan bersabar bagi mengelakkan situasi semakin tegang.

Menurut data MIDF, jumlah dagangan Malaysia merosot bagi bulan keenam berturut-turut dengan penurunan terakhir pada November 2019, -4.6 peratus tahun ke tahun, ekoran permintaan global yang berkurangan dan krisis perdagangan.

Begitu juga eksport dan import yang meneruskan aliran rendah, masing-masing susut -5.5 peratus tahun ke tahun dan -3.6 peratus tahun ke tahun.

Washington melancarkan serangan udara ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, Iraq menyebabkan komander tentera elit Iran Qasem Soleimani terbunuh.

Susulan serangan itu, pekeliling Jabatan Negara AS menggesa warga AS di Iraq untuk meninggalkan negara itu serta-merta memandangkan risiko yang mereka hadapi.

Minyak Brent, yang menjadi penanda aras, meningkat 3.8 peratus kepada AS$68.79 sebelum pasaran ditutup pada Jumaat, malah dijangka naik minggu ini.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS pada 4.1005/1035 daripada 4.1260/1290 Jumaat minggu sebelumnya.

Unit tempatan ditutup tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.0363/0401 daripada 3.0491/0524 serta meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3577/3637 daripada 5.3927/3970.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.5675/5717 daripada 4.5951/6001 namun lemah berbanding yen kepada 3.7936/7974 daripada 3.7680/7718.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Tahun Baharu. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini