Urus niaga ringgit berakhir lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Urus niaga ringgit berakhir lemah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila pelabur menunggu keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS bagi mencari petunjuk jelas mengenai pengurangan pembelian asetnya, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun sedikit kepada 4.2310/2350 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2300/2320 pada Isnin.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata dengan mesyuarat Fed bermula selama dua hari pada 27 hingga 28 Julai, pelabur mencari hala tuju jelas terutama selepas AS terus merekodkan kadar inflasi tinggi pada Jun.

Menurut laporan berita antarabangsa, kadar inflasi AS mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun pada Jun 2021, didorong oleh peningkatan kos kereta terpakai manakala harga pengguna meningkat 5.4 peratus dalam tempoh 12 bulan sehingga akhir Jun.

"Fed juga menjangka inflasi hanya sementara sahaja dalam mesyuarat sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Adam berkata, kebimbangan pengurangan pembelian aset mungkin berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan, ditambah dengan kemungkinan Fed menaikkan kadar lebih awal daripada jangkaan.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.9845/9893 daripada 4.9901/9925 pada Isnin, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1099/1131 daripada 3.1108/1127 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8286/8341 daripada 5.8349/8376.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8418/8458 daripada 3.8350/8372 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini