Ringgit, pasaran saham tempatan bermula cemerlang - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit, pasaran saham tempatan bermula cemerlang



KUALA LUMPUR: Ringgit dan pasaran saham tempatan memulakan hari pertama dagangan 2020 dengan positif apabila mata wang tempatan mencecah paras tertinggi dalam tempoh sembilan bulan manakala indeks penanda aras FBM KLCI ditutup melepasi paras 1,600 mata.

Faktor luaran yang memberangsangkan seperti Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka memeterai persetujuan perjanjian perdagangan fasa pertama pada pertengahan bulan ini serta perangkaan Indeks Pembelian Pengurus (PMI) Pembuatan Markit yang kukuh menjadi pemangkin utama kepada prestasi positif pasaran tempatan dan serantau.

Perangkaan PMI Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan kepada 50.0 pada Disember 2019 berbanding 49.5 pada November 2019, membantu melonjakkan sentimen pasaran.

Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS pada paras RM4.0905 sedolar dan kemudian meningkat mencecah RM4.0813 sedolar, paras tertinggi sejak April 2019.

Pasaran saham tempatan pula menyaksikan indeks FBM KLCI meningkat 13.74 mata atau 0.86 peratus untuk ditutup pada paras 1,602.50 selepas berlegar antara 1,590.98 dan 1,603.72 mata.

Penganalisis mengunjurkan ringgit berbanding dolar AS akan berlegar pada paras purata sekitar RM4.10-RM4.18 pada 2020 dan mata wang tempatan itu berpotensi menguji paras RM4.00-RM4.05 sedolar jika ekonomi global mencatatkan pemulihan di luar jangkaan.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes, berkata keyakinan bahawa persetujuan perdagangan AS-China yang akan dimeterai dalam tempoh terdekat terus menyokong sentimen peniaga terhadap ringgit.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini