Ringgit teruskan penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan penurunan


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutannya ketika ditutup hari ini berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan jangkitan coronavirus sebagai darurat kesihatan awam yang mencetuskan kebimbangan ekonomi di peringkat global.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0960/1000 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.0870/0910 ketika ditutup semalam.

Penganalisis berkata, jumlah kematian yang meningkat akibat coronavirus di China selain jangkitan yang cepat tersebar di negara lain dijangka memberi kesan buruk kepada ekonomi, terutamanya terhadap sektor pelancongan.

“Walaupun masih awal untuk menentukan kesan ke atas ekonomi tempatan, ekonomi global dijangka perlahan khususnya pada separuh pertama (tahun ini) berikutan rantaian bekalan global yang mengalami gangguan akibat penularan virus itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesediaan kerajaan untuk melaksanakan pakej rangsangan bagi menangani kesan coronavirus kepada ekonomi membuktikan kerajaan mengambil berat mengenai impak terhadap ekonomi.

“Ini dilihat memberi jaminan kepada pelabur supaya mereka tidak keluar daripada pasaran tempatan secara mengejut,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia menokok kepada 2.9988/3.0032 daripada 2.9999/3.0035 berbanding dolar Singapura, namun menyusut berbanding yen kepada 3.7581/7628 daripada 3.7523/7570 kelmarin.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding euro kepada 4.5167/5227 daripada 4.5026/5083 dan merosot berbanding pound kepada 5.3723/3792 daripada 5.3192/3257 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini