Coronavirus jejas satu peratus KDNK China tahun ini


SHANGHAI: Penularan coronavirus boleh mengurangkan sehingga satu peratus kadar pertumbuhan ekonomi China tahun ini, kata seorang anggota kanan badan pemikir negara itu dalam satu komentar diterbitkan hari ini.

Naib Pengerusi Institut Kewangan dan Pembangunan, Zeng Gang, membandingkan krisis semasa dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, apabila pertumbuhan ekonomi China merosot sebanyak dua peratus dalam satu suku tahunan.

“Impak wabak ini terhadap ekonomi pada suku pertama dijangka setanding,” kata Zeng dalam satu komentar yang diterbitkan dalam akhbar 21st Century Business Herald.

“Buat ketika ini, berdasarkan anggapan senario berbeza, penyelidik menjangkakan impak negatif wabak ini terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh tahun adalah dalam lingkungan 0.2 peratus hingga 1.0 peratus.”

Jika tindak balas rasmi terhadap wabak itu dibuat tepat pada masanya dan berkesan untuk mengehadkan penularan, trend pertumbuhan jangka panjang tidak akan terkesan dengan ketara, kata Zeng.

“Namun dalam jangka pendek, impak wabak itu terhadap aktiviti ekonomi tidak boleh diabaikan, khususnya apabila industri tertier dan perusahaan kecil yang mempunyai aliran tunai kecil berdepan tekanan lebih besar,” kata Zeng.

Beliau berkata, kesukaran dihadapi syarikat kecil akan mencetuskan peningkatan muflis dan memberi tekanan kepada kadar pengangguran pada suku pertama.

“Situasi pasaran pekerjaan tidak optimis. Ini akan memberikan cabaran serius kepada matlamat dasar makro supaya ‘mengutamakan pekerjaan’,” katanya.

Presiden Xi Jinping sebelum ini berkata, kerajaan akan mengelak pemberhentian pekerja berskala besar, menurut laporan televisyen kerajaan.

Bank pusat China sudah mengambil langkah untuk menyokong ekonomi, termasuk menurunkan kadar faedah dan menyediakan kecairan kepada pasaran.

Ia turut menyediakan dana khusus kepada bank untuk memberi pinjaman kepada perniagaan.

Penganalisis Citi berkata, mereka mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan dengan ketara di sebalik jangkaan lebih banyak dasar fiskal proaktif dan dasar monetari akomodatif akan dilaksanakan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini