Harga emas cecah paras tertinggi tujuh tahun


BENGALURU: Harga emas mencecah paras tertinggi dalam tujuh tahun dan mencatatkan kenaikan mingguan tertinggi dalam tempoh enam bulan apabila permintaan aset selamat itu meningkat selepas pertambahan kes COVID-19.

Korea Selatan melaporkan 52 kes baharu, menjadikan keseluruhan di negara itu sebanyak 156 kes, manakala Jepun melaporkan kematian pertama daripada sebuah kapal pelayaran yang menjadi kluster terbesar jangkitan di luar China.

Spot emas meningkat 0.7 peratus kepada AS$1,630.97 seauns, selepas mencecah paras tertinggi sejak 15 Februari 2013 pada AS$1,631.63 dalam sesi awal.

Bagi minggu ini, harga emas meningkat 2.9 peratus untuk mencatatkan peratus kenaikan mingguan terbesar sejak 9 Ogos lalu.

Niaga hadapan emas AS menokok 0.9 peratus pada AS$1,634.30.

“Tumpuan utama bagi emas adalah susulan ketidaktentuan virus ... dan merebaknya ia ke seluruh dunia,” kata ahli ekonomi National Australia Bank, John Sharma.

“Ini merebakkan kebimbangan ... tidak begitu menggalakkan dari segi pertumbuhan, pelaburan serta keyakinan pengguna dan perniagaan.”

Saham Asia merosot apabila kebimbangan virus menyebabkan dana mencari perlindungan untuk aset Amerika Syarikat (AS), sekali gus menaikkan dolar ke paras tertinggi dalam tiga tahun.

China mencatatkan peningkatan kes COVID-19 hari ini, apabila lebih 200 orang diuji positif di dua penjara luar wilayah Hubei.

Penyebaran seterusnya wabak itu akan menjejaskan unjuran pemulihan ekonomi global pada 2020, demikian menurut amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pegangan dalam dana tukaran asing disokong emas terbesar dunia, SPDR Gold Trust, meningkat 0.25 peratus kepada 933.94 tan, paras tertinggi sejak November 2016.

Spot emas mungkin meningkat ke lingkungan AS$1,639 hingga AS$$1,667 seauns, kata penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao..

“Inventori rendah daripada defisit berstruktur pasaran dan skop terhad bekalan akan menyebabkan permintaan kekal kukuh,” kata penganalisis ANZ dalam satu nota.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini