Ringgit terus susut, cecah RM4.19 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut, cecah RM4.19 sedolar


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjejaki prestasi mata wang Asia yang didahului oleh won Korea Selatan susulan peningkatan kes COVID-19 di republik itu.

Pada 6 petang, ringgit susut 100 mata asas untuk ditutup pada 4.1900/1940 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840, pada Khamis.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata jumlah kes COVID-19 Korea Selatan yang disahkan telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh dua hari dan negara tersebut kini dilihat sebagai lokasi panas bagi penularan virus itu.

"Sehubungan itu, impak negatifnya terhadap ekonomi Korea Selatan dijangka berterusan ketika kebimbangan itu ketara semula susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak di luar China.

"Ini meningkatkan kebimbangan di sekitar rantau ini dan menjadikan mata wang negara berkaitan pelancongan seperti dolar Singapura dan ringgit turut terjejas," katanya kepada Bernama.

Agensi berita Xinhua melaporkan hari ini bahawa Korea Selatan mencatat lebih 52 kes COVID-19 yang disahkan, sekali gus menjadikan 156 orang dijangkiti virus itu setakat ini.

Angka jangkitan COVID-19 di negara itu juga telah melonjak dalam tempoh tiga hari selepas 20 kes baharu dilaporkan pada Rabu dan seterusnya 53 kes lain pada Khamis, lapor Xinhua.

Dalam pada itu, Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, memandangkan ringgit susut lebih dua peratus berbanding dolar AS setakat tahun ini, kenaikan unit negara maju itu sejak akhir-akhir ini hanya menjejaskan lagi prestasi mata wang serantau dalam tempoh terdekat.

Keadaan itu berlaku ketika pasaran cuba menerima reaksi impak ekonomi akibat penularan COVID-19.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat 1.6 peratus pada Januari, menunjukkan bahawa tekanan inflasi masih mampu diurus.

“Ini berkemungkinan membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melaksanakan kelonggaran dasar jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian, bergantung kepada sejauh mana impak ekonomi akibat penularan COVID-19 berkenaan,” kata Han menerusi satu nota penyelidikan, hari ini.

Sewaktu ditutup hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan kelompok mata wang lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9924/9957 daripada 2.9849/9894 pada Khamis dan susut berbanding yen kepada 3.7504/7550 daripada 3.7328/7367, semalam.

Unit tempatan itu juga turun berbanding euro kepada 4.5286/5346 daripada 4.5140/5191 sebelum ini dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4110/4178 daripada 5.3926/3990, semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini