Harga minyak cecah paras terendah 13 bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak cecah paras terendah 13 bulan


NEW YORK: Harga minyak jatuh ke paras terendah sejak Disember 2018 berikutan permintaan lemah dari China susulan penularan coronavirus dan peniaga menunggu untuk melihat jika Russia akan menyertai pengeluar lain untuk melaksanakan pemotongan output.

Harga minyak jatuh lebih 25 peratus daripada kemuncak pada Januari dengan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) berada di bawah AS$50 satu tong selepas penularan virus itu menjejaskan permintaan di China, pengimport minyak terbesar dunia serta membangkitkan kebimbangan bekalan global berlebihan.

Niaga hadapan Brent jatuh AS$1.20, atau 2.2 peratus untuk ditutup pada AS$53.27 satu tong, paras terendah sejak 28 Disember 2018, manakala minyak mentah West Texas Intermediate susut 75 cents, atau 1.5 peratus, untuk berada pada AS$49.57, penutup terendah sejak 7 Januari 2019.

“Pasaran minyak terus mengalami tekanan penurunan daripada krisis kesihatan coronavirus, yang menyebabkan sektor pengangkutan dan pengeluaran di China hampir tidak bergerak,” kata penganalisis Eurasia Group dalam satu nota.

Kebimbangan terhadap bekalan tidak berkurangan selepas Russia berkata ia memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan mengenai cadangan jawatankuasa teknikal yang menasihatkan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengurangkan pengeluaran sebanyak 600,000 tong sehari.

Kumpulan itu, dikenali sebagai OPEC+, sudah memulakan pemotongan 1.2 juta tong sehari sejak Januari 2019 bagi mengurangkan lambakan bekalan global dan mengukuhkan harga minyak.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini