Harga minyak mentah terus menjunam ke AS$56.14 setong - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mentah terus menjunam ke AS$56.14 setong


SINGAPURA: Harga minyak mentah meneruskan kejatuhannya hari ini, diseret kebimbangan mengenai permintaan lebih rendah di China iaitu pengimport minyak terbesar dunia, ekoran penularan coronavirus (2019-nCoV) di negara berkenaan.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) susut buat minggu keempat berturut-turut minggu lalu selepas syarikat penerbangan membatalkan perjalanan ke China.

Rantaian bekalan di seluruh negara ekonomi kedua terbesar dunia juga terjejas, disebabkan loji penapisan terbesarnya, Sinopec mengurangkan pengeluaran.

Minyak mentah Brent diniagakan kepada AS$56.14 setong pada 0241 GMT, susut 48 cent atau 0.9 peratus selepas mencatat kerugian hampir 12 peratus pada Januari, penyusutan bulanan terbesar sejak November 2018.

Minyak mentah WTI susut 24 cent kepada AS$51.32 setong, selepas pada awalnya mencecah paras rendah AS$50.42.

Harga kontrak bulan hadapan WTI susut 15.6 peratus pada Januari, kejatuhan terbesar sejak Mei.

Langkah China untuk menyokong ekonominya mungkin membantu meletakkan harga minyak pada paras lantai dalam tempoh pendek, walaupun prospek permintaan minyak mentah masih lemah, kata Ketua Strategi Pasaran CMC Markets, Michael McCarthy di Sydney.

“Penutupan lapangan terbang menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya ada penangguhan dalam permintaan, jika tidak ditangguhkan mungkin dibatalkan,” katanya.

Aktiviti perkilangan China terhenti pada Januari selepas tempahan eksport susut dan penganalisis menjangkakan data Februari yang lebih rendah ekoran virus 2019-nCoV yang menjejaskan permintaan di negara berkenaan.

Bank Pusat China merancang untuk menyuntik lebih banyak kecairan bagi memacu ekonominya pada Isnin dan berjanji untuk menggunakan pelbagai instrumen dasar monetari bagi membantu mengurangkan kesan wabak berkenaan.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan rakan sekutunya dijangka membincangkan impak virus terhadap permintaan minyak dalam mesyuarat pada Mac.

Sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal Bersama OPEC dan bukan OPEC (JTC) dijadualkan mengadakan pertemuan pada awal bulan ini untuk menilai impak virus, kata sumber OPEC+ kepada Reuters.

Pengeluaran minyak OPEC susut pada Januari ke paras terendah sejak 2009 selepas beberapa ahlinya yang diterajui Arab Saudi melaksanakan perjanjian baharu untuk mengurangkan pengeluaran susulan kejatuhan bekalan di Libya.

“Kami sudah melakukan yang terbaik untuk menguruskan harga, namun kami tidak menjangkakan permintaan terjejas oleh sesuatu seperti wabak,” kata Pengurus Kanan Risiko Mitsubishi Corp, Tony Nunan di Tokyo.

“Jangkaan dalam mesyuarat akan datang adalah akan wujudnya pengurangan pengeluaran untuk menyokong harga,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini