Ringgit ditutup ke paras terendah dalam dua bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup ke paras terendah dalam dua bulan


KUALA LUMPUR: Ringgit turun sebanyak 0.29 peratus untuk ditutup kepada 4.1520 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, paras terendahnya sejak 12 Disember 2019, berikutan kebimbangan berterusan terhadap penularan COVID-19.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1520/1560 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1400/1450 pada Isnin.

Ringgit ditutup pada 4.1580/1610 berbanding dolar AS pada 12 Disember.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata prestasi mata wang tempatan itu dipengaruhi oleh hubungan perdagangan yang kukuh antara Malaysia dengan China.

“Dengan petanda peningkatan gangguan rantaian bekalan di China (disebabkan wabak COVID-19), ringgit berdepan risiko penurunan kerana sentimen mengelak risiko terus menyelubungi rantau ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9810/9850 daripada 2.9806/9846 pada Isnin, susut berbanding euro kepada 4.4950/5009 daripada 4.4898/4957 dan berkurangan berbanding yen kepada 3.7838/7878 daripada 3.7674/7730.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3951/4020 daripada 5.3977/4059.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini