Ringgit kekal lemah


KUALA LUMPUR: Ringgit kekal lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut selepas mata wang tempatan itu mencatatkan permintaan yang lemah termasuk sentimen luaran yang bercampur-campur.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1390/1420 berbanding dolar AS daripada 4.1350/1380 semalam.

MIDF Research dalam satu nota berkata, Covid-19 (coronavirus) boleh menjadi risiko kejatuhan jika ancaman tersebut berterusan sehingga menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global.

Berkongsi pandangan yang sama dengan MIDF, Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit berada dalam trajektori yang lebih lemah selepas pasaran memutuskan untuk mengurangkan risiko.

"Kita akan melihat gelombang jualan yang besar disebabkan pasaran cenderung untuk melihat melalui kes Covid-19," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding dengan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5041/5082 daripada 4.5150/5195 tetapi menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9824/9852 daripada 2.9817/9858.

Ia juga jatuh berbanding yen kepada 3.7716/7747 daripada 3.7591/7625 semalam dan menurun terhadap pound kepada 5.3683/3730 daripada 5.3668/3724.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini