Ringgit kembali meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat


KUALA LUMPUR: Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan prestasi mata wang pasaran sedang pesat membangun lain susulan pengukuhan pasaran ekuiti dan yuan China.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1080/1110 berbanding dolar AS daripada paras 4.1125/1155 pada Isnin.

Peniaga berkata, yuan China mendapat manfaat daripada kekukuhan pasaran ekuti negara tersebut hari ini tetapi kenaikan terhad susulan kebimbangan terhadap penularan wabak 2019 novel coronavirus.

Beliau berkata China meredakan kebimbangan terhadap impak ekonomi akibat daripada wabak coronavirus itu dengan menurunkan kadar faedah dan menyuntik 1.2 trilion yuan mudah tunai ke dalam pasaran bagi mengurangkan kesan ekonomi yang disebabkan virus itu.

Bagaimanapun, beliau berkata dolar AS juga kekal kukuh berbanding mata wang lain apabila aktiviti ekonomi Amerika Syarikat dalam sektor pembuatan, seperti yang dilaporkan oleh Institute for Supply Management, melantun semula pada Januari selepas lima bulan mencatatkan penguncupan.

“Dolar AS dijangka kekal kukuh dalam tempoh jangka pendek apabila kebimbangan berterusan terhadap coronavirus akan memberi manfaat kepada mata wang itu dan menyeret turun keseluruhan mata wang pasaran sedang pesat membangun,” katanya.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9970/0001 daripada 3.0051/0084 pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7654/7691 daripada 3.7896/7931.

Ringgit juga mengukuh berbanding euro kepada 4.5410/5459 daripada 4.5529/5579 sebelumnya dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3466/3521 daripada 5.3792/3839.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini