Ahli ekonomi isytihar COVID-19 cetus kemelesetan dunia


WASHINGTON: Ahli ekonomi Goldman Sachs Group Inc dan Morgan Stanley berkongsi pendapat dengan Wall Street untuk mengisytiharkan COVID-19 telah mencetuskan kemelesetan global.

Perdebatan kini tertumpu kepada tempoh masa dan kedalamannya.

Sehari selepas Presiden Donald Trump mengakui bahawa penurunan Amerika Syarikat (AS) saja adalah ‘teruk’, ahli ekonomi membatalkan unjuran bahawa dunia boleh mengelak terjerumus ke dalam kemelesetan buat kali pertama sejak krisis kewangan.

Penelitian semula itu adalah disebabkan virus telah merebak ke Eropah dan AS, selain bukti baharu bahawa China, negara pertama yang dilanda pandemik itu, mengalami impak ekonomi lebih buruk berbanding unjuran awal.

Pasukan Morgan Stanley, diketuai oleh Chetan Ahya, berkata kemelesetan seluruh dunia kini adalah ‘kes asas’ dengan pertumbuhan dijangka susut kepada 0.9 peratus tahun ini.

Di Goldman Sachs, Jan Hatzius dan rakan setugasnya mengunjurkan pertumbuhan lemah kepada 1.25 peratus.

S&P Global turut menjangkakan pertumbuhan dalam julat 1.0 hingga 1.5 peratus.

Penurunan itu mungkin tidak seteruk penguncupan 0.8 peratus pada 2009, seperti yang diukur oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), namun lebih buruk berbanding 2001 dan awal 1990-an.

Morgan Stanley dan Goldman Sachs menjangkakan lantunan semula pada separuh kedua, namun memberi amaran bahawa terdapat risiko masalah ekonomi yang lebih besar.

Unjuran sedemikian akan memberikan tekanan lebih hebat kepada pembuat dasar untuk berusaha keras mengehadkan kecemasan kesihatan dan melaksanakan rangsangan bagi membantu syarikat dan pengguna menghadapi kejutan seterusnya memacu semula permintaan selepas itu.

Data telah pun menunjukkan kesan virus itu.

Keyakinan pelabur dalam ekonomi Jerman merudum ke paras yang kali terakhir disaksikan semasa krisis hutang Eropah, manakala jualan runcit AS jatuh ke tahap terburuk dalam tempoh setahun bulan lalu, walaupun sebelum langkah membendung COVID-19 mula memberi kesan ke atas ekonomi.

Tuntutan pengangguran AS bagi minggu berakhir 14 Mac, berkemungkinan melonjak ke paras kedua tertinggi tahun ini, menurut anggaran median kaji selidik Bloomberg.

Ia dijangka terus meningkat dalam minggu-minggu akan datang.

Walaupun Rizab Persekutuan dan bank pusat lain bertindak aktif melonggarkan dasar monetari, kebanyakan kerajaan bertindak lebih perlahan untuk bertindak balas serta hanya merangka pakej fiskal yang mungkin gagal meredakan kebimbangan pelabur.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini