Bekerja dari rumah penyelesaian wajar semasa krisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bekerja dari rumah penyelesaian wajar semasa krisis


KUALA LUMPUR: Langkah bekerja luar pejabat secara jauh termasuk dari rumah, dijangka menjadi satu perkara biasa berikutan ketersediaan penyumberan data secara dalam talian serta ketersambungan yang meluas menerusi Internet.

Malah, pendekatan sama turut diamalkan pelbagai industri, terutama susulan penularan atau pandemik COVID-19 yang memerlukan negara di serata dunia termasuk Malaysia untuk menyekat pergerakan atau interaksi rakyat masing-masing demi membendung penyebaran virus itu.

Malaysia misalnya telah memulakan usaha pendigitalan itu sejak permulaan alaf baharu.

Justeru, selepas 20 tahun, aspek ketersambungan bukan lagi satu isu dan tempoh sukar dan mencabar seperti sekarang akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana keberkesanan bekerja jarak jauh ini.

Seperti yang dapat disaksikan sejak beberapa tahun lalu, aspek perdagangan juga secara beransur-ansur beralih kepada pendekatan perniagaan dalam talian berbanding model tradisional seperti dahulu.

Apa yang pasti, kebanyakan barangan daripada peringkat asas sehinggalah kepada perkhidmatan perbankan dan kewangan serta pembelian perabot, dapat dilakukan di hujung jari secara dalam talian dan seterusnya hanya menunggu penghantaran ke muka pintu.

Peralihan sedemikian turut menggerakkan usaha bekerja luar pejabat ini memberi manfaat kepada kalangan pekerja 'freelancer' dan turut membuka peluang ekonomi baharu, termasuk ekonomi ‘gig’ atau pasaran tenaga kerja kontrak jangka pendek seperti kerja bebas untuk banyak pihak.

Satu kajian oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan bahawa ekonomi 'gig' ini dianggarkan bernilai kira-kira AS$63 bilion di seluruh dunia menjelang 2020.

Dalam nota penyelidikannya, ia turut membangkitkan mengenai peningkatan segmen yang merangkumi kerja-kerja secara sementara atau tugasan kontrak yang disifatkan akan memberi cabaran dari segi pengurusan modal insan dan sumber.

Sebanyak 46 peratus kalangan profesional sumber manusia di seluruh dunia turut menjangkakan sehingga 20 peratus tenaga kerja akan membabitkan pekerja kontrak bagi tugasan jangka pendek atau tugasan bebas pada 2020.

Oleh kerana COVID-19 yang bermula di Wuhan, China kini tersebar dan sukar dikawal, pelbagai sektor termasuk korporat dan kewangan telah mula melaksanakan konsep kerja dari rumah demi memastikan perniagaan terus beroperasi seperti biasa.

Malah, sektor pendidikan misalnya kini beralih kepada pembelajaran secara dalam talian sebagai penyelesaian ketika berdepan krisis kesihatan yang menyaksikan kampus ditutup bagi mencegah sebarang risiko.

“Masalah ini amat ketara di seluruh dunia dan hanya menerusi pelaksanaan kerja secara jauh ini dapat meminimumkan impak selain mewujudkan satu lagi peluang ekonomi bagi mereka yang terjejas apabila syarikat atau majikan mereka menamatkan operasi,” kata PwC.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini