COVID-19 cetus mimpi ngeri pasaran saham global


KUALA LUMPUR: Penularan COVID-19 yang semakin meluas dan perang harga minyak, menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pasaran saham utama dunia pada Jumaat, yang dimulakan kejatuhan harian terburuk pasaran Wall Street sejak 1987.

Jualan panik tercetus di sebahagian negara ekonomi maju dan sedang membangun, khususnya di pasaran Asia apabila menyaksikan kejatuhan harian ketara tiga indeks utama Wall Street susulan kebimbangan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi global.

Indeks utama pasaran Amerika Syarikat (AS), Indeks S&P 500, Nasdaq dan Dow Jones, semua ditutup rendah lebih 9 peratus pada penutup awal pagi Jumaat.

Pasaran saham Jepun yang paling awal dibuka dalam kalangan negara Asia Pasifik, mencatatkan kemerosotan harian terbesar lebih 10 peratus, sementara pasaran Hong Kong jatuh sehingga 7.0 peratus.

Namun, kedua-dua pasaran itu berjaya mengurangkan kerugian yang dicatatkan sebelumnya dengan Indeks Nikkei 225 ditutup rendah 6.08 peratus atau 1,128.58 mata kepada 17,431.05, manakala Indeks Hang Seng ditutup 1.14 peratus atau 276.16 mata lebih rendah kepada 24,032.91.

Tekanan jualan juga memperlihatkan indeks penanda aras pasaran saham Thailand dan Indonesia masing-masing menyusut sehingga 10 peratus dan 5.0 peratus, sekali gus memaksa pengendalinya melaksanakan circuit breaker atau pemutus litar iaitu menutup dagangan dalam tempoh singkat untuk menenangkan pelabur.

Bagaimanapun, kedua-dua pasaran itu akhirnya pulih dengan mengakhiri dagangan dalam julat positif dengan Indeks Komposit Jakarta ditutup 11.82 mata atau 0.24 peratus lebih tinggi kepada 4,907.57, manakala Indeks Komposit Thailand mengakhiri dagangan 14 mata atau 1.26 mata lebih tinggi kepada 1,128.91.

Pasaran saham Singapura juga berdepan kemerosotan dengan Indeks Straits Times ditutup 44.64 mata atau 1.67 peratus lebih rendah kepada 2,634.00.

Bagi pasaran tempatan pula, Bursa Malaysia menerima tamparan penjualan panik serantau itu dengan memperlihatkan indeks FBM KLCI dibuka rendah 55.67 mata atau 3.92 peratus kepada 1,363.76.

Selepas berlegar antara 1,320.96 dan 1,369.00 mata, indeks penanda aras pasaran saham tempatan itu ditutup 74.68 mata atau 5.26 peratus lebih rendah kepada 1,344.75, paras terendahnya dalam tempoh sembilan tahun.

Sejak awal tahun ini sehingga Khamis lalu, nilai permodalan pasaran tempatan menyusut 13.48 peratus atau kira-kira RM220 bilion kepada RM1.415 trilion.

Selain pasaran ekuiti, ringgit juga terus mencatatkan aliran menurun dengan ditutup rendah 0.30 peratus kepada RM4.2775 berbanding satu dolar AS, paras terendahnya sejak Ogos 2017.

Sementara harga minyak mentah Brent naik AS$1.77 atau 5.3 peratus kepada AS$34.99 setong pada 1011 GMT selepas jatuh lebih tujuh peratus pada Khamis.

Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli, berkata Indeks FBM KLCI dibuka rendah pada sesi pagi Jumaat berikutan kejatuhan teruk semalaman di pasaran AS.

Beliau berkata, kejatuhan teruk juga berlaku di kebanyakan pasaran serantau dengan isu penularan wabak COVID-19 menjadi penyebab utama kebimbangan pelabur, yang dikhuatiri akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi dunia.

“Berlaku situasi jualan panik pada sesi pagi yang didominasi oleh pelabur runcit. Kaunter aktif adalah dari sektor minyak dan gas, teknologi dan sektor yang berkaitan dengan China.

“Namun muncul pembelian yang disokong oleh pengurus dana tempatan ketika harga saham agak murah,” katanya kepada BH mengulas mengenai prestasi pasaran saham tempatan.

Nazarry berkata, pasaran kini berada di dalam situasi yang dipanggil “terlebih jualan”, yang mana dijangkakan harga saham akan naik semula dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, paras sokongan semasa Indeks FBM KLCI adalah pada kedudukan sekitar 1,320 mata.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini