Harga minyak cecah paras terendah 18 tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak cecah paras terendah 18 tahun



LONDON/NEW YORK: Peniaga minyak mentah, dari Afrika Barat sehingga ke Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS) menawarkan bekalan kargo dengan diskaun yang tinggi, dalam usaha untuk menarik pembeli memandangkan bekalan global kini melebihi permintaan.

Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh 18 tahun ketika penyebaran global COVID-19 telah menyebabkan perjalanan udara dan darat merosot.

Ia berlaku pada masa yang sama dengan pengeluar utama meningkatkan pengeluaran selepas Rusia enggan mengurangkan pengeluarannya pada mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya.

Kejatuhan secara tiba-tiba dalam permintaan telah mengakibatkan lebihan minyak mentah berkualiti tinggi yang tidak terjual di Nigeria, lantas menyebabkan harga komoditi itu di Pantai Teluk AS dijual pada harga diskaun di pasaran hadapan, kata peniaga.

Pengeluar dari Asia Barat membanjiri pasaran dengan lambakan bekalan.

Nigeria, yang mengeluarkan minyak mentah paling mudah ditapis yang biasanya dijual pada kadar premium, mempunyai 30 atau lebih muatan kargo yang tidak terjual pada April, kata peniaga.

Ia bersamaan dengan 30 juta tong atau 30 peratus daripada permintaan harian dunia.

The National Petroleum Corp of Nigeria (NNPC) minggu lalu meletakkan angka setinggi 50 kargo, dan harga untuk satu gred utama komoditi Nigeria itu kini pada harga diskaun yang bersamaan dengan harga minyak mentah Brent ketika ini.

Permintaan untuk eksport dari Pantai Teluk AS telah merudum, kata peniaga.

Eksport AS telah meningkat secara beransur-ansur dalam empat tahun terakhir kepada lebih daripada empat juta tong sehari baru-baru ini, tetapi kini terancam dengan lambakan minyak Arab Saudi yang lebih murah.

"Tiada pembeli," kata seorang peniaga minyak mentah di Pantai Teluk AS.

"Syarikat penapis dalam kesulitan, pengeksport dalam kesulitan, pengeluar dalam masalah. Ini adalah bencana yang kelihatan tiada penyelesaian.

"Kekurangan pilihan untuk simpanan, serta peningkatan kos pengangkutan ketika Arab Saudi meningkatkan penghantaran, juga menghalang pembeli. Unit penghantaran Bahri dari Arab Saudi telah menempah sehingga 40 kapal tangki, ada beberapa di antaranya untuk penyimpanan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini