ECB umum program kecemasan bantu ekonomi Eropah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

ECB umum program kecemasan bantu ekonomi Eropah


FRANKFURT : Bank Pusat Eropah (ECB) dalam satu langkah mengejut akan membelanjakan 750 bilion euro (RM3.6 trilion) untuk pembelian kecemasan bon.

Ia menyaksikan ECB menyertai bank pusat lain dalam menggandakan usaha untuk membendung ekonomi daripada terjejas oleh COVID-19.

Dikenali sebagai Program Pembelian Kecemasan Pandemik, ia diumumkan enam hari selepas ECB mendedahkan pakej rangsangan besar-besarannya yang gagal untuk menenangkan pasaran, sekali gus memberi tekanan terhadap bank itu untuk membuka gerbang kewangan.

Skim untuk pembelian tambahan bon kerajaan dan korporat itu hanya akan dimuktamadkan setelah bank berkenaan "menentukan bahawa fasa krisis COVID-19 telah berakhir, tetapi dalam apa-apa kes bukan sebelum akhir tahun ini," kata ECB dalam kenyataannya.

Keputusan itu dibuat selepas 25 anggota majlis bank itu mengadakan perbincangan kecemasan menerusi telefon, berikutan kritikan yang diterima bahawa ECB tidak berusaha secukupnya untuk membantu ekonomi zon euro.

“Waktu luar biasa memerlukan tindakan luar biasa. Tiada had dari segi komitmen kami untuk euro,” kata Ketua ECB, Christine Lagarde dalam ciapannya.

Kenyataan itu mengulangi semula kata-kata daripada penyandangnya sebelum ini, Mario Draghi yang pada tahun 2012 berikrar untuk melakukan "apa sahaja yang diperlukan" untuk melindungi euro semasa kemuncak krisis hutang kerajaan.

Dalam ciapannya, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengalu-alukan langkah-langkah "luar biasa" ECB dan menggesa kerajaan untuk menyokong tindakan fiskal dan "solidariti kewangan yang lebih besar" di blok ekonomi 19 negara itu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini