Harga minyak menjunam lagi, Brent AS$24.67 terendah 17 tahun


NEW YORK: Harga minyak menjunam dalam dagangan di Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi berikutan lambakan bekalan dan pergolakan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 yang menjejaskan pasaran.

Penanda aras New York, WTI jatuh 24 peratus kepada AS$20.37, terendah sejak 2002, manakala di London, Brent North Sea catat harga terendah sejak 2003, menjunam 14 peratus untuk mengakhiri dagangan di AS pada AS$24.67 setong.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, harga minyak mentah berulang kali mencatat paras terendah susulan kebimbangan berlaku kemelesetan ekonomi ekoran sekatan perjalanan dan penutupan perniagaan akibat penularan COVID-19, berserta perang harga antara pengeluar utama Arab Saudi dan Russia.

Kejatuhan harga minyak itu telah menyebabkan pasaran saham Wall Street dihentikan dagangan sementara atau ‘circuit breaker, selama 15 minit setelah penanda aras S&P 500 jatuh 7.0 peratus, sementara Dow Jones Industrial Average susut 9.3 peratus.

Peningkatan risiko ekonomi menyaksikan Washington bergelut menyediakan pakej rangsangan AS$1.3 trilion, termasuk penangguhan pembayaran cukai dan pinjaman untuk perniagaan kecil serta pemberian tunai segera kepada semua rakyat AS.

Presiden AS, Donald Trump pada satu taklimat semalam berkata, Jabatan Pembangunan Perumahan dan Bandar akan memberikan bantuan segera kepada penyewa dan pemilik rumah dengan menggantung semua penyitaan dan pengusiran sehingga akhir April. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini