Harga minyak pada paras rendah 17 tahun


SINGAPURA: Harga minyak mentah meneruskan penyusutan di dagangan Asia pada Isnin dan menyusut ke paras terendah 17 tahun, dengan krisis COVID-19 meningkat di seluruh dunia dan situasi perang harga yang berterusan.

Penanda aras minyak Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate jatuh 5.3 peratus kepada AS$20 setong, sementara penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent rendah 6.5 peratus kepada AS$23 setong.

Kejatuhan itu dicatatkan selepas kematian akibat pandemik meningkat melepasi 30,000 pada hujung minggu berikutan kes di Eropah dan AS terus meningkat.

Pakar Sains Kanan AS, Anthony Fauci mengunjurkan virus itu berpotensi menyebabkan 100,000 hingga 200,000 kematian di AS, sementara Presiden AS, Donald Trump melanjutkan garis panduan penjarakkan sosial sehingga 30 April.

Virus itu menjangkiti lebih 140,000 di ekonomi terkemuka dunia itu dan mencatatkan lebih 2,400 kematian.

Pasaran minyak merosot beberapa minggu lalu berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan kerajaan seluruh dunia untuk memerangi penularan COVID-19 menjejaskan permintaan.

Walaupun permintaan jatuh, bekalan meningkat secara dramatik selepas pengeluar utama Arab Saudi dan Russia terbabit dalam perang harga sama ada untuk mengurangkan output bagi menyokong harga.

Pada akhir minggu lalu, Riyadh berkata, ia tidak berhubung dengan Moscow mengenai potensi pengurangan output, manakala Timbalan Menteri Tenaga Russia berkata, minyak pada AS$25 setong bukanlah satu malapetaka bagi negara pengeluar, sekali gus menandakan kedua-dua belah pihak masih tidak bersatu.

“Kebimbangan permintaan adalah kritikal tetapi diketahui, apa yang benar-benar menjejaskan pasaran adalah isyarat yang kami dapat daripada Arab Saudi dan Russia bahawa mereka mahu meneruskan laluan mereka sekarang,” kata Penganalisis Komoditi Commonwealth Bank of Australia, Vivek Dhar kepada Bloomberg News.

Terdapat kebimbangan bahawa komoditi itu akan terus jatuh lagi berikutan tangki simpanan di seluruh dunia mencapai kapasiti penuh.

“Apabila keupayaan penyimpanan diisi, kita mungkin mengharapkan tindak balas daripada Arab Saudi, Russia, dan pengeluar minyak penting lainnya,” kata Stephen Innes dari AxiCorp, walaupun beliau memberi amaran "semakin lama tindak balas diambil, semakin tinggi risiko satu lagi penurunan mendadak dalam harga minyak".

Kemerosotan dalam pasaran minyak berlaku selepas peningkatan dengan ekuiti minggu lalu yang berlaku selepas pembuat dasar seluruh dunia melaksanakan langkah rangsangan besar-besaran untuk menyokong ekonomi global yang dilanda virus.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini