Pasaran Asia menjunam susulan COVID-19, kejatuhan harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pasaran Asia menjunam susulan COVID-19, kejatuhan harga minyak



HONG KONG: Pasaran ekuiti utama Asia menjunam hari ini susulan kebimbangan pertumbuhan ekonomi global akan terjejas teruk ekoran penularan COVID-19 yang lebih meluas dan kejatuhan ketara harga minyak mentah yang dijangka memberi kesan negatif kepada firma berkaitan bahan api.

Selepas virus maut itu mengorbankan lebih ramai mangsa, peniaga menjual pegangan dalam aset berisiko untuk beralih kepada aset selamat, justeru menyaksikan harga emas dan yen melonjak, manakala hasil Perbendaharaan AS mencatat paras terendah baharu.

Dalam pada kerajaan dan bank pusat dunia sudah dan melaksanakan pakej rangsang, penularan COVID-19 dijangka menggugat dan meningkatkan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi dunia.

Pasaran serantau memulakan dagangan hari ini dengan ‘lautan merah’ pergerakan harga di papan urus niaga, iaitu bermula daripada pasaran Tokyo hingga ke Sydney masing-masing menjunam 6.0 peratus, manakala Hong Kong susut 4.0 peratus.

Singapura, Seoul dan Wellington jatuh lebih daripada 3.0 peratus, manakala Shanghai, Taipei dan Jakarta susut sekurang-kurangnya 2.0 peratus. Kerugian ini dijangka akan dijejaki pasaran Eropah dan Wall Street apabila ia dibuka kelak.

Pencetus kejatuhan adakah penjualan besar-besaran di pasaran minyak mentah, apabila pengeluar minyak terbesar dunia Arab Saudi menurunkan harga, ke paras luar jangkaan dalam sesetengah perkara, selepas bertelagah dengan Russia mengenai pengeluarannya.

Kedua-dua kontrak hadapan minyak mentah, susut lebih 20 peratus, selepas kerugian lebih 30 peratus pada awal pagi tadi.

Arab Saudi melancarkan ‘perang harga habis-habisan’ semalam dengan menyaksikan penurunan harga minyak mentah ke paras terendah dalam 20 tahun, demikian dilaporkan Bloomberg, selepas OPEC dan anggotanya gagal mencapai kata sepakat mengenai pengeluaran bahan api itu.

Pertemuan diadakan OPEC sebelum ini dijangka mendapat persetujuan menurunkan pengeluaran untuk menstabilkan harga kesan COVID-19, dibantah Moscow.

Sebagai tindak balas, Riyadh menurunkan harga kontrak April sebanyak AS$4 hingga AS$6 setong dalam penghantaran ke Asia dan AS$7 ke AS.

Keputusan Russia untuk tidak mematuhi OPEC telah menjejas 10 peratus harga minyak pada Jumaat lalu dan terdapat amaran harganya akan terus susut jika persetujuan gagal dicapai.

Penganalisis Kanan Oanda, Jeffrey Halley, berkata: “Arab Saudi sedang menghukum Russia.”

“Harga minyak dalam tempoh beberapa bulan akan datang akan mengehadkan pertumbuhan ekonomi global, dan Arab Saudi akan menjual pada harga murah.” - AFP

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini