Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat peningkatan baru-baru ini berikutan minat untuk mengambil risiko telah reda kerana kebimbangan terhadap penularan koronavirus (Covid-19) dan penyusutan harga minyak, kata peniaga.

Unit tempatan turun kepada 4.1700/1750 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1575/1625 semalam.

Harga minyak global merosot menjelang kemungkinan berlakunya pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ekoran Covid-19.

Bagaimanapun, pengurangan itu banyak bergantung kepada persetujuan daripada negara pengeluar minyak, Rusia, sebuah negara bukan anggota OPEC.

Dilaporkan bahawa perjanjian itu akan diguna pakai berdasarkan asas pro-rata dengan anggota teras OPEC yang dijangka akan mengurangkan pengeluaran sebanyak satu juta tong sehari manakala pengeluar bukan OPEC mungkin akan mengurangkan sebanyak 500,000 tong sehari.

Harga minyak merosot 25 peratus sejak awal tahun ini.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata, pedagang memilih untuk berada di luar pasaran walaupun sentimen lemah dolar AS kerana jangkaan lebih banyak penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

“Ringgit diniagakan lebih rendah hari ini selepas FTSE Bursa Malaysia KLCI dan pasaran bon tempatan dibuka rendah berikutan pengelakan risiko global,” katanya dalam nota.

Ringgit ditutup rendah berbanding kelompok mata wang utama.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0222/0267 daripada 3.0018/0056 pada Khamis dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.9643/9701 daripada 3.8870/8927 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4156/4237 daripada 5.3707/3788 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7088/7161 daripada 4.6452/6512 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini