Ringgit ditutup rendah, cecah RM4.44 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah, cecah RM4.44


KUALA LUMPUR: Ringgit susut daripada aliran pengukuhannya pada minggu lalu apabila ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, ketika pelabur beralih kepada aset selamat akibat ketidaktentuan yang terus menyelubungi prospek ekonomi global, kata peniaga.

Setakat 6 petang ini, ringgit berada pada paras 4.4400/4480 berbanding 4.3947/4012 sewaktu ditutup pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata peningkatan yang dicatatkan oleh dolar AS adalah terhad selepas barisan penggubal undang-undang negara itu gagal meluluskan pakej rangsangan bagi menampan negara maju itu daripada impak pandemik COVID-19.

Akibatnya, beberapa pelabur yang sebelum ini mengharapkan pakej rangsangan itu secara besar-besaran melepaskan rasa kecewa dengan menjual unit mata wang negara maju terbabit.

“Kalangan penggubal undang-undang di Washington gagal mencapai kata sepakat berhubung langkah pakej rangsangan itu manakala undian pada Isnin tidak dapat dilakukan berikutan perbalahan pihak Republikan dan Demokrat berhubung butiran cadangan perbelanjaan AS$1 trilion dalam pakej itu,” kata peniaga.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0474/0543 daripada 3.0303/0369 sewaktu dagangan ditutup pada Jumaat dan rendah berbanding euro kepada 4.7539/7634 daripada 4.7204/7303, sebelum ini.

Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0290/0374 daripada 3.9811/9898, tetapi mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1619/1730 daripada 5.1926/2042.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini