Ringgit teruskan aliran penurunan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran penurunan


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencecah paras terendahnya sejak Mei 2017 apabila harga minyak terus jatuh dan penularan COVID-19 terus menjejaskan pasaran global.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut ke paras 4.3480/3530 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3030/3080 pada Isnin.

Seorang penganalisis berkata, ringgit dijangka meneruskan penurunannya kerana Malaysia menerima kesan langsung daripada pandemik COVID-19 yang semakin memburuk.

“Pasaran minyak turut menerima kesan apabila penanda aras minyak mentah Brent mencecah paras di bawah AS$35 setong, menyebabkan impak ekonomi yang besar ke atas negara-negara yang bergantung kepada hasil minyak seperti Malaysia,” katanya.

Setakat 6 petang, minyak mentah Brent turun 11.37 peratus semalaman kepada AS$31.41 setong.

Beliau berkata, negara-negara di seluruh dunia telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan ekonomi akibat daripada COVID-19, yang dijangkakan lebih buruk daripada Krisis Kewangan 1997, termasuk mengumumkan rangsangan ekonomi dan pakej bantuan untuk rakyat serta perniagaan.

Rizab Persekutuan AS pada Ahad dilaporkan mengumumkan pengurangan kadar faedah kecemasan 100 mata asas kepada antara sifar dan 0.25 peratus bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi AS.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan lebih rendah.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0482/0528 daripada paras penutup 3.0260/0312 pada Isnin dan merosot berbanding yen Jepun kepada 4.0792/0850 daripada 4.0613/0672.

Ringgit berkurangan berbanding pound British kepada 5.2911/1985 daripada 5.2711/2876 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8228/8297 daripada 4.8155/8228.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini