COVID-19: Sejumlah 10 juta rakyat AS hilang kerja - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

COVID-19: Sejumlah 10 juta rakyat AS hilang kerja


WASHINGTON: Data tuntutan manfaat mingguan baharu yang akan diumumkan hari ini akan menyaksikan Amerika Syarikat (AS) bakal menerima satu lagi impak penularan COVID-19 ke atas ekonominya.

Laporan yang diumumkan Jabatan Buruh dua minggu lalu menunjukkan 10 juta rakyat AS kehilangan pekerjaan selepas perniagaan di negara ekonomi terbesar dunia ditutup akibat penularan virus berkenaan.

Penganalisis menjangkakan data yang diumumkan hari ini akan menunjukkan satu lagi peningkatan kehilangan pekerjaan sekitar beberapa juta lagi, sekali gus memberi tekanan kepada penggubal undang-undang untuk mengambil tindakan.

“Sukar untuk sesuatu yang lain melebihi laporan yang negatif,” kata firma perunding, Pantheon Macroeconomics dalam nota penyelidikan.

Konsensus dalam kalangan penganalisis menunjukkan lima juta tuntutan baharu bagi manfaat pengangguran, namun lebih ramai yang menjangkakan jumlah itu lebih tinggi.

Minggu lalu, laporan menunjukkan 6.65 juta hilang pekerjaan dan hasil laporan pada 26 Mac pula mendapati jumlah keseluruhan adalah 3.3 juta pekerjaan.

Kaji selidik bulanan Jabatan Buruh dibuat secara berasingan ketika minggu 12 Mac sebelum penutupan perniagaan dilaksanakan secara meluas menunjukkan ekonomi AS kehilangan 701,000 pekerjaan dan kadar pengangguran melonjak sebanyak 4.4 peratus, angka terburuk sejak Mac 2009 ketika kemuncak krisis kewangan global pada 2009.

Laporan mingguan yang diumumkan hari ini akan menjadi satu lagi ‘berita lebih menakutkan’, kata Ketua Ahli Ekonomi AS S&P Global Ratings, Beth Ann Bovino yang turut menjangkakan tuntutan baharu akan mencecah 3.0 juta, meskipun segelintir penganalisis menjangkakan angka setinggi 6.0 juta.

“Laporan pekerjaan April juga akan suram ‘dengan hampir 13 juta hilang pekerjaan dan kadar pengangguran sekitar 15 peratus,” katanya.

Mac lalu, Kongres meluluskan pakej rangsangan AS$2.2 trilion (RM9.55 trilion) bagi membendung kesan penularan COVID-19.

Pakej rangsangan itu termasuk pembayaran tunai terus kepada rakyat, meningkatkan insurans pengangguran dan program pinjaman kepada perniagaan kecil bernilai AS$350 bilion (RM1.52 bilion) bagi memastikan syarikat mengekalkan pekerjaan.

Bagaimanapun, pelaksanaan program itu kurang sempurna dengan institusi perbankan kecewa dengan garis panduan kurang jelas mengenai bagaimana ia dilaksanakan selepas ia menerima kebanjiran permohonan.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin, berkata berikutan permintaan yang tinggi, beliau meminta pinjaman tambahan bernilai AS$250 bilion (RM1.09 bilion) dari Kongres, namun ia perlu mendapat persetujuan Republikan yang mengawal Senat serta Demokrat dan memimpin Dewan Perwakilan. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini