Harga emas pukal dijangka melonjak kepada RM250 segram - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas pukal dijangka melonjak kepada RM250 segram


KUALA LUMPUR: Harga emas pukal dijangka melonjak ke paras RM250 segram dalam tempoh beberapa minggu akan datang, didorong langkah pelabur beralih kepada logam berharga itu susulan ia dianggap sebagai pelaburan selamat ketika berlaku krisis.

Penularan COVID-19 mencetuskan panik dalam kalangan pelabur dari masa ke semasa, selain daripada aktiviti perlombongan yang terhenti ekoran langkah kawalan pergerakan di seluruh dunia mengehadkan bekalan.

Ketua Perbendaharaan Ace Innovate Asia Bhd, Liew Kim Fung, berkata jangkaan lonjakan harga dijangka berlaku di tengah-tengah kelemahan permintaan logam berharga itu di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Beliau berkata, momentum positif harga emas juga dipacu krisis kesihatan akibat pandemik itu yang mencetuskan penutupan operasi pengeluaran oleh pengeksport utama memandangkan industri emas bukannya barangan penting semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) atau perintah berkurung.

Katanya, PKP dan perintah berkurung yang dilaksanakan di seluruh dunia juga menyebabkan pengeluaran emas fizikal terhenti sekali gus mengurangkan bekalan di pasaran.

“Buat masa ini, saya melihat lebih ramai yang menjual emas berbanding membeli disebabkan harga juga yang sangat tinggi, kecuali berlaku penurunan harga dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Saya menjangkakan harga emas mampu melepasi paras RM276.60 segram atau AS$1,800 (RM7,841) seauns tahun ini susulan ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi BH.

Mengulas lanjut, Kim Fung, berkata langkah AS memperkenalkan pakej rangsangan dan pelonggaran dasar ekonomi untuk menangani COVID-19 juga mendorong kejatuhan nilai dolar AS dan menjadikan emas sebagai pilihan selamat kepada pelabur.

Katanya, perkara sama turut berlaku pada 2008 hingga 2015, di mana AS memperkenalkan dasar pelonggaran kuantitatif bagi membendung krisis kewangan yang memberi manfaat kepada emas yang melonjak sehingga AS$1,900 (RM8,279) seauns atau RM292 segram.

“Apa yang berlaku ketika ini didorong kuat oleh kesan COVID-19 dan dasar AS. Saya menjangkakan sejarah lonjakan harga emas akan berulang lagi tahun ini.

“Pada pendapat saya, berdasarkan kedudukan harga semasa emas, ia boleh dikatakan sebagai masa terbaik untuk menjual meskipun harga mungkin akan terus meningkat, tetapi apa sahaja boleh berlaku kerana kejatuhan harga boleh berlaku dalam tempoh singkat seperti 2003 iaitu dari AS$1,900 (RM8,279) kepada AS$1,180 (RM5,141) seauns atau RM292 kepada RM181 segram,” katanya.

Mengenai pasaran tempatan, beliau berkata, permintaan di peringkat domestik terhenti untuk tempoh jangka pendek sehingga COVID-19 dapat ditangani sepenuhnya.

Katanya, apabila pandemik itu berakhir, lonjakan permintaan bagi emas tempatan akan melonjak, khususnya rekaan barang kemas 916 ketulenan emas dari pengeluar Malaysia.

“Buat masa ini, emas akan menjadi topik panas bagi kebanyakan rakyat Malaysia, namun peningkatan harga menjadi logam berharga ini lebih mahal. Malah, dagangan dalam talian juga kurang aktif disebabkan harga tinggi dan rakyat lebih memilih keperluan asas ketika PKP. Saya lihat pembelian aktif adalah topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

Kim Fung berkata, beliau melihat akan wujud penyertaan aktif pelabur dalam platform seperti Akaun Pelaburan Emas (GIA) atau pasaran Bursa Malaysia Derivatives – Niaga Hadapan Emas (FGLD) selepas ini.

“Ini kerana pemulihan kos dapat diraih meskipun kadar ketidaktentuan tinggi dalam tempoh beberapa hari atau minggu berbanding memakan masa berbulan-bulan atau tahun,” katanya.

Harga emas fizikal dibuka RM2.69 lebih rendah kepada RM231.31, berbanding harga penutup semalam RM234.00.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini