Tokoh Perniagaan Terhebat di Dunia - Kisah-kisah kejayaan individu yang akan memberi anda inspirasi supaya tidak pernah berputus asa. - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Tokoh Perniagaan Terhebat di Dunia - Kisah-kisah kejayaan individu yang akan memberi anda inspirasi supaya tidak pernah berputus asa.


Pada hari ini, saya ingin berkongsi kisah-kisah jutawan yang tidak pernah berputus asa dan berjaya dalam hidup: jutawan tanpa pendidikan, jutawan swajaya paling muda, jutawan selepas berusia 40 tahun.
Kita semua berusaha untuk berjaya dalam hidup, tetapi ramai daripada kita perlukan pengalaman dan contoh yang akan memberi inspirasi kepada diri untuk mencapai keputusan yang sama. Kadangkala apabila anda berasa kecewa, berasa bahawa anda tidak akan pernah berjaya dan semua perkara seperti tidak kena, kesabaran yang semakin tipis dan hampir berputus asa, anda hanya perlu melihat mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama, tetapi tidak berputus asa dan berjaya mengecapi impian mereka. Anda akan mengetahui kisah-kisah hidup para jutawan, mereka yang berjaya mencapai matlamat mereka tanpa pendidikan yang tinggi, yang memperoleh modal semasa berusia 40-an, jutawan dan dermawan paling muda.


Semua orang ingin berjaya dan mencapai sesuatu dalam hidup, tetapi tidak semua berjaya melakukannya. Sesetengah orang memandang rendah risiko dan kerugian wang, sesetengah lagi kurang sabar dan ada yang memilih cara yang salah. Banyak punca untuk kegagalan, tetapi satu fakta yang tepat: ramai orang cenderung menyalahkan orang lain dengan kegagalan sendiri berbanding bertanggungjawab terhadap kesilapan itu. Analisis kesilapan sendiri sebenarnya adalah satu kunci kejayaan. Contoh-contoh mereka yang berjaya menjadi buktinya.

Dalam kisah-kisah pilihan ini, anda akan mempelajari pengalaman:

* Sepuluh jutawan tanpa pendidikan tinggi
* Sepuluh jutawan swajaya paling muda
* “Tiada istilah lambat untuk mula” – pelabur-pelabur yang menjadi jutawan walaupun selepas berusia 40-an
* Pelabur-pelabur paling banyak berbuat amal – dermawan

Setiap seorang daripada mereka ini layak diberi perhatian khusus, dan setiap mereka juga unik dalam cara tersendiri.

Bahagian I – Sepuluh orang jutawan tanpa pendidikan tinggi

Setiap individu yang tergolong dalam penilaian ini mempunyai kisah hidup yang menarik. Ada yang berpendapat belajar itu membosankan dan mempunyai impian untuk terus membina perniagaan sendiri. Sesetengahnya pula mempunyai kisah zaman kanak-kanak yang sukar dan ibu bapa mereka tidak mampu menghantar mereka belajar di universiti. Sesetengahnya pula berhenti belajar daripada universiti; dan ada yang tidak habis belajar (apatah lagi pendidikan yang lebih tinggi). Mengikut statistik, kira-kira 37% jutawan tidak menamatkan pelajaran daripada universiti; 24% daripadanya langsung tidak memiliki sijil pelajaran. Namun demikian, hal itu tidak menghalang mereka untuk berjaya dan tergolong dalam Senarai Teratas individu paling kaya di dunia. Mereka sememangnya contoh yang baik untuk diikuti bukan?

1. Joe Lewis (lahir tahun 1937) (nilai bersih $5 bilion)


Wajarkah Lewis dipanggil pemalas? Ia satu soalan yang menarik. Lewis berhenti sekolah semasa berusia 15 tahun untuk membantu ayahnya mengendalikan perniagaan katering milik keluarga. Apabila beliau menjadi pemilik perniagaan tersebut, mendapatkan ijazah tidak lagi penting kerana beliau telah mendapat pengalaman yang cukup baik dalam keusahawanan. Beliau kemudiannya menjual perniagaan keluarganya itu untuk beralih ke perdagangan mata wang dan pelaburan. Bahkan, beliau telah berpindah ke Bahamas, tempat tinggalnya sekarang sebagai orang yang membayar cukai dengan kadar yang rendah. Pada hari ini, beliau memiliki lebih daripada 120 restoran dan kelab bola sepak Tottenham Hotspur. Jutawan ini juga terkenal kerana bekerjasama dengan George Soros dalam menyerang Bank England.

2. Richard Branson (lahir tahun 1950) ($5.1 bilion)


Seorang jutawan terkenal British yang tidak boleh membaca atau menulis sehingga berusia 8 tahun kerana menghidap disleksia.

Branson menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai keinginan untuk belajar semasa di usia muda. Beliau hanya pergi ke sekolah sehingga berusia 16 tahun dan berhenti. Pada hari terakhir di sekolah, guru besar memberitahunya sama ada beliau akan berakhir di penjara atau menjadi jutawan. Setelah berhenti belajar, beliau telah membangunkan perusahaan perniagaannya yang pertama, sebuah majalah yang dipanggil Student. Bagi menarik perhatian pembaca, beliau telah menerbitkan artikel percuma daripada John Lennon, Mick Jagger dan lain-lain selebriti. Kemudian, beliau membuka syarikat rekod dan memanggilnya Virgin Records. Sekarang, Virgin merupakan jenama yang merangkumi kira-kira 400 syarikat dengan industri berbeza, bermula daripada syarikat penerbangan dan telekomunikasi sehingga pelancongan angkasa dan penghasilan permainan video.

Saya juga ingin maklumkan seorang lagi rakyat UK yang kaya, Roman Abramovich yang mempunyai nilai bersih $11.5 bilion pada tahun 2018. Beliau juga tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi kerana beliau tidak mahu belajar. Tetapi beliau berjaya beroleh kekayaan disebabkan hubungannya dengan oligarki dan pemimpin-pemimpin politik Rusia, dan beberapa skim perniagaan haram.

3. Paul Allen (1953-2018) (nilai bersih $20.1 bilion)


Allen datang daripada keluarga guru dan golongan tentera, beliau berminat dengan alat mekanikal dan teknikal pada usia muda. Semasa di gred enam, beliau mula belajar tentang pengaturcaraan. Allen pergi ke sekolah swasta di Seattle, tempat beliau bertemu Bill Gates yang berkongsi minat sama dalam komputer. Allen pergi ke Universiti Washington; walau bagaimanapun, dua tahun kemudian, beliau berhenti belajar untuk bekerja sebagai pengatur cara dan bersama-sama dengan Bill Gates, beliau telah mengasaskan Microsoft.

4. Michael Dell (lahir tahun 1965) ($24 bilion)



Beliau menyedari bakat keusahawanannya semasa berusia 12 tahun. Beliau menjual langganan pada musim panas dan menyedari yang penduduk-penduduk baharu kawasan tersebut mempunyai kemungkinan tinggi untuk membeli langganan. Selepas itu, beliau telah mencipta sejenis rangkaian pemberi maklumat, rakan-rakan yang memberitahunya tentang orang-orang baharu. Beliau kemudiannya menjadi pelajar praperubatan baharu di Universiti Texas, tetapi berhenti belajar di universiti dan memulakan perniagaan kecil, mengumpulkan dan menjual kit naik taraf untuk komputer peribadi. Pada hari ini, Dell Computer Corporation yang telah dibangunkan olehnya adalah salah satu syarikat terkemuka dalam kalangan pembuat PC.

5. Li Ka-shing (lahir tahun 1928) ($33 bilion)



Pada Mac 2018, Li telah bersara pada usia 89 dengan menjadi salah seorang individu paling kaya di Asia. Dan beliau mempunyai banyak perkara untuk dibanggakan. Beliau lahir dalam keluarga yang miskin. Semasa berusia 14 tahun, ayahnya telah meninggal dunia, beliau terpaksa berhenti sekolah dan mencari kerja. Beliau bekerja untuk syarikat pembuatan plastik dan selepas 7 tahun, Li telah membangunkan syarikatnya menjadi sebuah syarikat pelaburan harta tanah terkemuka di Hong Kong. Pada hari ini, dua syarikat utama Li membentuk kira-kira 15% daripada permodalan pasaran saham Hong Kong. Li juga membuat pelaburan dalam logistik, perdagangan runcit, bioteknologi, jentera dan telekomunikasi.

6. Francoise Pinault (lahir tahun 1936) ($33.8 bilion)


Jutawan Perancis ini hanya mempunyai satu sijil pelajaran – lesen memandu. Beliau tidak suka belajar pada usia muda; selain itu, beliau juga sering diejek dan dibuli oleh rakan sekelas kerana latar belakangnya yang biasa. Bapa kepada bakal jutawan ini adalah pemilik ladang dan kilang papan yang kecil, dan Francoise juga berminat dalam pemprosesan kayu. Semasa berusia 27 tahun, beliau telah berkahwin (walaupun perkahwinan itu tidak bertahan lama) dan menubuhkan syarikat pertamanya. Pada masa tersebut, beliau telah bertemu dengan bakal Presiden Perancis, Jacques Chirac yang kemudiannya telah membantu beliau. Selain daripada pengeluaran kayu dan kertas, Pinault juga terlibat dalam pembekalan kereta dan ubat ke Afrika. Pada hari ini, beliau juga memiliki rumah lelong Christie dan kelab bola sepak Stade Rennais.

7. Larry Ellison (lahir tahun 1944) ($57.4 bilion)


Allison telah cuba untuk mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi dan tidak lulus dalam kedua-duanya. Pertama, beliau terpaksa berhenti belajar daripada Universiti Illinois selepas dua tahun. Kemudian, beliau belajar satu semester di Universiti Chicago. Disebabkan keadaan, beliau telah dipaksa berhenti belajar untuk kedua-dua universiti. Tetapi, beliau masih berjaya menubuhkan vendor pangkalan data berjaya yang kita kenali sebagai Oracle.

8. Mark Zuckerberg (lahir tahun 1984) ($77.6 bilion).



Sejak kemunculan zaman Internet di awal tahun 2000, banyak syarikat pemula teknologi yang tumbuh. Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat memberi apa-apa kecuali warna-warna yang cantik; jadi kebanyakan syarikat tersebut telah hilang selepas keruntuhan dotcom pada tahun 2000. Mark Zuckerberg, seorang usahawan teknologi Amerika, tidak berasa tergugat dengan perkara itu. Idea untuk membangunkan perkhidmatan rangkaian sosial menjadi impian bakal jutawan ini. Bagi menjadikan impiannya itu satu realiti, Zuckerberg terpaksa berhenti belajar di Universiti Harvard, tetapi dalam masa 2 tahun sahaja, rangkaian itu boleh diakses oleh setiap pengguna Internet.


9. Amancio Ortega (lahir tahun 1936) (nilai bersih $96.4 bilion)



Amancio Ortega ialah seorang usahawan jutawan berbangsa Sepanyol. Bakal jutawan ini mempunyai zaman kanak-kanak yang sukar. Bapanya merupakan seorang pekerja stesen kereta api, ibunya pula seorang pembantu rumah di kediaman orang kaya, dan keluarga ini sangat memerlukan wang. Ortego berhenti sekolah dan mendapat pekerjaan pada usia 14 tahun. Beliau bekerja sebagai pembantu kedai di tempat membuat kemeja tempatan dan belajar pengalaman membuat pakaian dan menjualnya. Beliau kemudiannya membuka syarikat pembuatan kecil dan menjual jubah mandi dan pakaian dalam wanita, tetapi syarikatnya itu hampir muflis selepas pelanggan utama membatalkan konsainan barangan. Kemudian, Ortega membuat keputusan untuk menjual pakaian melalui rantaian pakaiannya tersendiri dan menubuhkan kedai yang dikenali sebagai Zara pada hari ini. Pada masa sekarang, Amancio juga melabur dalam harta tanah.

10. Bill Gates (lahir tahun 1955) ($93.3 bilion)


Sama seperti Paul Allen, Bill Gates telah membuat keputusan untuk berhenti belajar di Universiti Harvard untuk bekerja di Microsoft. Beliau memang agak teruk dalam beberapa subjek dan selepas dua tahun belajar, beliau telah dibuang daripada universiti. Ternyata perkara itu memberi kelebihan kepadanya.

Kirk Kerkorian (1917-2015) juga sepatutnya tergolong dalam senarai ini. Beliau merupakan seorang usahawan, pelabur dan dermawan berbangsa Amerika dari asal Armenia. Beliau dilahirkan kepada ibu bapa pendatang dan terpaksa berhenti sekolah pada gred kelapan dan menjadi seorang mekanik auto. Semasa Perang Dunia Ke-II, beliau telah membawa pesawat ciptaan Kanada ke British Isle dan mendapat modal awalnya yang pertama. Perniagaan besar pertamanya adalah perniagaan pesawat dan perkhidmatan carter udara yang agak luar biasa pada zaman itu.

Bahagian II - “Tiada istilah lambat untuk mula” – pelabur-pelabur yang menjadi jutawan selepas berusia 40



Saya teruskan penilaian inspirasi ini dengan senarai individu yang telah memperoleh bilion pertama mereka selepas berusia 40 tahun. Tidak semua perkara terus datang bergolek. Kesabaran, ketabahan dan komitmen adalah perkara yang sentiasa memberi hasil, unsur-unsur yang menjadi matlamat hidup. Dalam senarai ini, ada yang telah menemui matlamat hidup mereka dan beroleh kejayaan pada usia 40. Ada pula yang membangunkan empayar perniagaan mereka hampir separuh daripada waktu hidup mereka, menukar idea mereka menjadi satu realiti dengan sistematik. Contoh-contoh individu dalam senarai ini membuktikan bahawa tiada istilah lambat untuk mula melakukan sesuatu perkara yang benar-benar anda sukakan.

1. Ray Kroc (1902-1984).


Ayah kepada bakal jutawan ini meninggal dunia pada waktu yang agak awal, menurut salah satu versi, beliau meninggal disebabkan terkejut selepas kehilangan segala-galanya dalam kejatuhan pasaran saham semasa Kemelesetan Besar. Ray sendiri tidak pernah menganggap yang beliau akan menjadi kaya dan terkenal. Pada usia 50 tahun, beliau menghidap diabetes dan artritis, sebahagian kelenjar tiroid dan pundi hempedu telah dibuang dan pekerjaan sebagai jurujual yang mengembara (menjual cawan kertas dan pembancuh susu kocak) tidak memberi sebarang bayangan kemajuan. Pada tahun 1955, beliau telah bertemu dengan adik-beradik McDonald yang mengendalikan restoran makanan segera, dan beliau berasa kagum dengan idea untuk membangunkan industri ini. Pada tahun 1955, Kroc telah membuka McDonald di bawah francais dengan adik-beradik McDonald. Pada tahun 1961, dia membeli syarikat tersebut dan mengasaskan rantaian makanan segera terkenal dunia.

2. Henry Ford (1863-1947).



Syarikat Ford Motor awalnya mengeluarkan kereta paling murah pada permulaan industri auto. Meskipun Ford tidak mencipta automobil atau barisan pemasangan, beliau telah membangunkan dan mencipta automobil pertama yang boleh dibeli oleh rakyat Amerika kelas pertengahan. Tetapi, permulaannya tidaklah mudah. Pada tahun 1879, Ford telah mencipta projek kereta yang tidak dikeluarkan. Pada tahun 1903, tuntutan pelanggaran hak cipta telah difailkan terhadap Ford Motor Co. Perbicaraan itu berlanjutan sehingga 8 tahun dan berakhir dengan kemenangan kepada Ford. Syarikat Ford Motor hanya berjaya pada 1908, selepas Model T dilancarkan.

3. Michael Bloomberg (lahir tahun 1942).



Pada usia 24 tahun, bakal jutawan dan Datuk Bandar New York ini mula bekerja untuk Solomon Brothers, tempat beliau bekerja sebagai pedagang selama 15 tahun. Apabila syarikat itu dibeli oleh pemilik lain, Bloomberg telah dihentikan daripada bank pelaburan. Tetapi, beliau tidak berputus asa dan menubuhkan agensi maklumat Bloomberg pada tahun 1981. Ia memaparkan analisis dalam talian untuk pasaran kewangan. Kelebihan agensi ini adalah penggunaan teknologi komputer yang agak luar biasa pada zaman itu, dan ia telah memenuhi ruang kosong tersebut.

4. Sam Walton (1918-1992).



Walton tidak begitu menyangka yang beliau akan menjadi seorang usahawan. Sebelum tahun  1942, beliau telah melakukan pelbagai kerja, termasuk menjual langganan, menternak arnab untuk dijual dan bekerja sebagai pelatih pengurusan. Pada tahun 1943, beliau telah menyertai tentera AS. Selepas meninggalkan tentera pada tahun 1945, Walton faham yang dunia sudah berbeza dan membuat keputusan untuk mencuba sendiri jualan runcit. Dia mengambil alih pengurusan kedai serbaneka pertama miliknya. Beliau membangunkan dan mula menggunakan teknologi jualan miliknya sendiri: pembelian langsung barang secara pukal (tanpa perantara), diskaun promosi, bekerja pada hujung minggu. Pada tahun 1962, Walton membuka kedai pertamanya pada usia 42 tahun. Pada tahun 1978, beliau sudah pun memiliki lebih daripada 200 kedai. Hari ini, rantaian kedai yang dipanggil Walmart sudah cukup terkenal di seluruh dunia.

5. Reid Hoffman (lahir tahun 1967).



Beliau sangat meminati Internet. Pada awal zaman Internet, semasa beliau berusia 30 tahun, beliau telah mencipta SicialNet.com, sebuah laman web perkenalan yang merupakan satu analog, prototaip rangkaian sosial. Hanya pada tahun 2002 beliau berjaya melaksanakan ideanya tentang perkhidmatan rangkaian sosial. Beliau maju dua tahun di hadapan Mark Zuckerberg dan kemudiannya menjadi salah seorang pelabur Facebook semasa di peringkat pembangunannya. Pada hari ini, projek ini dikenali sebagai salah satu rangkaian sosial perniagaan pertama, LinkedIn.

6. George Soros (lahir tahun 1930).



Orang lain mungkin mengkritik George Soros, seorang pelabur AS dan dermawan, tetapi hakikat kejayaan hebat beliau tidak dapat dinafikan. Ia perkara lain tentang cara yang beliau gunakan untuk mencapai kejayaannya (ingat, sebagai contoh, serangan terhadap Bank England).

Soros memasuki bidang pelaburan agak lewat, semasa usia 26 tahun. Tetapi sesudah itu, beliau boleh menawarkan idea menarik untuk menjana wang daripada arbitrasi antarabangsa. Hanya semasa usia 39 tahun, Soros menjadi pengurus dana dan telah mengasaskan dananya sendiri, Quantum Fund, hanya di 2073. Hari ini, beliau merupakan salah seorang individu paling kaya di dunia.

7. “Kolonel” Harland Sanders (1890-1980).



Colonel Harland Sanders merupakan seorang usahawan Amerika, dikenali kerana mengasaskan rantaian restoran ayam segera, Kentucky Fried Chicken (kini dikenali sebagai KFC).  Sanders memiliki segalanya semasa kanak-kanak, tetapi beliau memilih untuk menjadi sukarelawan dalam askar. Sebelum mencapai umur 40, Sanders telah melakukan pelbagai kerja seperti tukang api enjin stim, penjual insurans dan operator stesen pengeluaran. Hanya semasa berusia 40, beliau mula menjual ayam goreng di restoran tepi jalan. “Resepi rahsia” Sanders menggoreng ayam yang lebih cepat berbanding dalam kuali goreng memperkenalkannya ke dalam dunia besar kewangan. Pada tahun 1950, beliau telah mencipta imej terkenalnya: sut putih, janggut sejemput dan misainya. Imej ini kemudiannya menjadi simbol syarikat KFC yang berjaya melepasi semua cabaran.

8. Momofuku Ando (1910-2007).



Mengikut salah satu versi, terdapat satu tinjauan sosial di Jepun pada tahun 2000. Orang ramai diminta untuk menamakan ciptaan Jepun yang paling penting pada abad ke-20. Anda pasti terkejut, tetapi kedudukan pertama telah diambil oleh...Mi segera. Dan Ando ialah orang yang telah mencipta dan membangunkan pembuatan mi segera.

9. Amancio Ortega (lahir tahun 1936).



Saya telah sebut tentang jutawan ini di bahagian pertama. Beliau mendapat modal pertama setelah berusia 40 tahun. Zaman kanak-kanaknya sangat sukar, jadi susah untuk meningkatkan modal awal. Dengan mengendalikan pengeluaran pakaian, beliau tidak mempunyai kelebihan daya saing dan tidak dapat mengembangkan perniagaannya. Beliau telah membuka kilang pertamanya semasa berusia 37 tahun (tahun 1972). Dan hanya pada tahun 1975, beliau akhirnya berjaya apabila membangunkan rantaian runcit sendiri miliknya yang merupakan idea baharu pada masa tersebut.

10. Mary Kathlyn Wagner (Ash) (1918-2001).



Mary Kay Ash, dilahirkan sebagai Mary Kathlyn Wagner, merupakan ahli perniagaan wanita dan pengasas Mary Kay Cosmetics. Salah seorang daripada beberapa usahawan wanita yang membangunkan empayar perniagaan sebenar. Mary menjadi pengurus jualan (wakil jualan) pada tahun 1939. Beliau menganjurkan parti-parti untuk menggalakkan orang ramai membeli barang-barang rumah. Disebabkan rasa bosan dengan tempat kerja biasa, Ash membuat keputusan untuk membangunkan perniagaan sendiri pada usia 45 tahun dan membeli formula losen kulit. Falsafah perniagaannya, fokus pada pelanggan, idea sampel penguji dan teknik pemasaran asli membantu beliau mengembangkan perniagaannya dalam perusahaan besar. Pada hari ini, Mary Kay mempunyai lebih daripada 200 item produk dan di ibu pejabat syarikat sahaja, terdapat lebih daripada 1200.

Bahagian III – Sepuluh jutawan swajaya paling muda




Ramai jutawan menjadi kaya disebabkan ibu bapa mereka yang meninggalkan wang dalam wasiat atau memberi mereka bahagian dalam perniagaan. Mereka kemudiannya meneruskan perniagaan  yang dimulakan oleh ibu bapa mereka, tetapi ada beberapa pengecualian (sebagai contoh, Tom Persson yang memilih industri perfileman atau Julio Mario Santo Domingo, III, seorang DJ). Tetapi terdapat juga jutawan yang berjaya memperoleh sendiri bilion pertama mereka sebelum berusia 40 tahun. Dan pengalaman mereka itu memang layak diberi penghormatan.

Pada tahun 2015, nilai bersih Theranos adalah kira-kira $4.5 bilion. Elizabeth Holmes, pengasas dan bekas CEO Theranos berusia 31 tahun pada waktu itu. Beliau terlibat dalam pembangunan perubatan. Tiada siapa yang tahu berapa lama syarikatnya telah wujud, tetapi selepas Holmes dinamakan sebagai jutawan swajaya paling muda dan paling kaya oleh Forbes, muncul pendedahan bahawa kebanyakan tuntutan teknologi syarikat tersebut adalah satu penipuan. SEC telah menyekat beliau daripada berkhidmat sebagai pegawai atau pengarah syarikat awam selama 10 tahun. Dan Theranos kini hampir muflis. Orang lain yang tergolong dalam senarai teratas adalah lebih berjaya.

1. John Collison (lahir tahun 1990, nilai bersih $1.1 bilion).



Collison digelar “Irish Genius”. Pada usia 17 tahun, beliau telah memperoleh $5 juta selepas menjual Auctomatic, sebuah syarikat perisian yang membangunkan alat-alat untuk platform eBay. Pada tahun 2010, Collison telah mengasaskan bersama Stripe yang telah menerima sokongan daripada Elon Musk, Peter Thiel. Syarikat ini membangunkan perisian yang membolehkan individu dan perniagaan menerima bayaran melalui Internet. Pada tahun 2016, Collison telah digelar sebagai jutawan swajaya paling muda di dunia.

2. Bobby Murphy (lahir tahun 1988, $3 bilion).



Beliau merupakan seorang lagi jutawan muda, usahawan dan jurutera Amerika. Beliau mendapat pengalaman permulaan perniagaan yang kecil semasa belajar di universiti. Murphy bersama-sama dengan Evan Spiegel (nilai bersih kira-kira $2.1 bilion), telah menubuhkan Snapchat. Ia merupakan aplikasi mesej multimedia. Salah satu ciri utamanya ialah gambar dan mesej yang hanya tersedia untuk masa yang singkat sebelum ia dipadam secara automatik. Idea ini terus menjadi popular. Kemudian, syarikat dinamakan semula sebagai Snap Inc. dan melancarkan produk perkakasan pertamanya, cermin mata pintar Spectacles.

3. Drew Houston (lahir tahun 1983; $3.2 bilion).



Sekali lagi, seorang jutawan muda yang telah mencipta produk unik yang terus menjadi terkenal di puncak populariti platform, perkhidmatan dan aplikasi. Pada tahun 2007, Houston telah membangunkan Dropbox, satu khidmat pengehosan fail yang membantu mengoptimumkan maklumat dan mencari fail yang diperlukan dengan cepat.

4. Nathan Blecharczyk (lahir tahun 1983), Joe Gebbia (lahir tahun 1981), Brian Chesky (lahir tahun 1981) – nilai bersih setiap orang $3.8 bilion.



Mereka ini boleh diberi pengecualian dalam senarai teratas ini. Pada tahun 2008, mereka telah mendapat idea tentang satu platform yang mengendalikan pasaran dan hospitaliti dalam talian yang berkhidmat pada semua pengguna di seluruh dunia dan menggelarnya A‌i‌r‌b‌n‌b. Idea ini terus diterima oleh para pelancong dan mereka yang banyak membuat lawatan perniagaan dan perlu mencari penginapan di bandar lain dan negara asing. Jutawan-jutawan ini telah meningkatkan kira-kira $3.4 daripada dana yang dilaburkan selama 10 tahun pengendalian. Pada masa yang sama, laman web itu telah dilayari oleh lebih 150 juta orang. Kira-kira 30 juta orang telah menggunakan perkhidmatannya. Pangkalan datanya merangkumi kira-kira 1.5 juta tawaran penginapan, terutamanya rumah inap atau pengalaman pelancongan.

5. Jack Dorsey (lahir tahun 1976, nilai bersih $4.8 bilion)



Beliau mendapat idea mencipta Twitter semasa belajar di Universiti Missouri. Semasa bekerja untuk penghantaran sebagai pengatur cara, Dorsey menyedari keperluan pemesejan segera. Pada tahun 2000, Dorsey telah mencipta platform untuk menghantar perkhidmatan kurier, teksi dan kecemasan melalui Internet. Pada tahun 2008, perkhidmatan utamanya, Twitter, mula beroperasi. Ini sememangnya hebat memandangkan Dorsey pada asalnya hanya mahu membuat seluar jean dan telah dianggap sebagai seorang yang cuai dan tidak bertanggungjawab pada usia yang muda.

6. Robert Pera (lahir tahun 1978; nilai bersih $5.1 bilion).



Pera pernah membandingkan cita-citanya dengan kejayaan Apple dan berkata yang beliau mahu mencapai kejayaan yang lebih hebat dalam masa yang singkat. Berbekalkan pengalamannya bekerja di Apple, Pera dengan cepat menyedari prospek teknologi wayarles. Pada tahun 2009, beliau mula menjual modelnya yang menggunakan teknologi WiFi untuk menghantar Internet secara wayarles ke kawasan-kawasan yang mempunyai kurang liputan. Pada hari ini, syarikat miliknya, Ubiquiti ialah salah satu syarikat terkemuka yang menjual peralatan wayarles. Ia mempunyai pendekatan asal kepada pengurusan jualan. Robert mempunyai matlamat untuk menjadikan syarikatnya berjaya seperti Cisco dan Huawei.

7. Travis Kalanick (lahir tahun 1976; $6.3 bilion).



Kalanick telah berhenti belajar di Universiti California untuk menubuhkan bersama satu perkhidmatan perkongsian fail. Pada tahun 2000, terdapat beberapa tuntutan daripada Scour, mendakwa pelanggaran hak cipta, dan syarikat telah memfailkan muflis. Pada tahun 2001, beliau memulakan syarikat perkongsian fail rakan-ke-rakan dan menjualnya pada tahun 2007. Pada tahun 2009, dia memulakan projek besar ketiganya, Uber, yang menjadikannya terkenal. Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa siri konflik dalaman, Kalanick telah meletak jawatan sebagai CEO, tetapi sasarannya telah berjaya dicapai: beliau berjaya menjadi jutawan.

8. Jan Koum (lahir tahun 1976; nilai bersih US$7.5 bilion).



Bakal jutawan ini telah dilahirkan di Kesatuan Soviet Kyivn. Pada tahun 1992, beliau telah berpindah dengan ibu bapanya ke AS. Beliau berhenti belajar di universiti dan mendapat pekerjaan dengan Yahoo, tempat beliau bekerja dari tahun 2000 hingga tahun 2007. Pada tahun 2009, beliau telah membangunkan satu aplikasi mesej yang kini popular, iaitu WhatsApp yang telah dibeli oleh Facebook dengan nilai sebanyak $19 bilion pada tahun 2014. Jan Koum telah membangunkan aplikasi tersebut sehingga April 2018. Kemudian, beliau meninggalkan WhatsApp dan keluar daripada lembaga pengarah Facebook disebabkan pertikaian dengan Facebook.

9. Dustin Moskovitz (lahir tahun 1984; $15.6 bilion)



Beliau membuat keuntungan dengan menyertai pembangunan Facebook, tempat beliau bekerja sehingga tahun 2008. Pada tahun 2008, Moskovitz meninggalkan Facebook (tetapi beliau mengekalkan bahagian kecil sahamnya) dan memulakan syarikat baharu yang dipanggil Asana, berfungsi untuk pembangunan aplikasi yang direka untuk membantu kumpulan mengurus, menjejak dan mengurus kerja mereka.

10. Mark Zuckerberg (lahir tahun 1984) ($77.6 bilion).



Saya telah menulis kisah jutawan ini dalam bahagian sebelumnya. Dengan bertaruh pada pembangunan khidmat rangkaian sosial dan berhenti belajar di universiti, pertaruhan Zuckerberg berbaloi. Walaupun Facebook  mengalami kegoyahan pada tahun 2018 dan ramai pesaing yang cuba mengatasinya, Zuckerberg masih merupakan seorang jutawan.

Bahagian IV – Pelabur yang paling banyak berbuat amal- dermawan

Apakah yang paling diingini dan diperlukan oleh mereka yang memiliki segala-galanya? Apakah yang diperlukan orang mereka yang sudah memiliki berbilion dolar, harta tanah, kapal layar, pulau tersendiri dan juga masa terluang?  Bagi mereka yang menguruskan modal berbilion, ia tidak penting sama ada mereka mempunyai 5 bilion lebih atau kurang; mereka hanya perlukan kemasyhuran dan rasa hormat. Semua orang mahu kebaikan mereka diingati, semua orang mahu diri mereka memberi manfaat secara sosial.

1. Gordon dan Betty Moore (jumlah derma kira-kira $289 juta).



Pengasas Intel Corporation dan isterinya ini telah membiayai pembangunan pelbagai bidang saintifik. Mereka telah menderma jumlah yang hampir sama (dengan pelarasan kepada inflasi) selama lebih 15 tahun. Mengikut jumlah keseluruhan derma, pasangan Moore tergolong dalam senarai pelabur paling banyak membuat amal di dunia. Pasangan Moore ini menyokong sains, pemuliharaan alam sekitar, pendidikan kakitangan. Mereka juga membiayai pembinaan teleskop paling besar di dunia.

2. James Simons ($293 juta telah didermakan).



Beliau merupakan ahli matematik Amerika, jutawan swajaya, pengurus dana lindung nilai dan dermawan. Pada usia 80 tahun, beliau masih menderma kepada projek-projek pendidikan dan perubatan di beberapa negara berbeza. Beliau jarang dimasukkan dalam senarai teratas, beliau hanya memilih projek-projek menarik yang tertentu.

3. Paul Allen ($341 juta)


Pengasas bersama Microsoft ini telah tergolong dalam senarai teratas dermawan sejak tahun 2011. Beliau membiayai penyelidikan saintifik dan paling utama, neurologi. Beliau telah menubuhkan Allen Institute for Brain Science. Secara keseluruhan, Allen telah menderma $500 juta kepada institut tersebut, menjadikannya penerima derma tunggal terbesar.

4. Keluarga Walton ($454 juta).


Yayasan Keluarga Walton bertumpu pada bidang pembiayaan tertentu. Pada tahun 2011, disebabkan yayasan ini, muzium seni Amerika telah wujud di mana hanya $1.3 bilion telah dilaburkan pada awalnya.

5. Charles (Chuck) Feeney ($482 juta).


Pengasas bersama Duty Free Shoppers ini biasanya dipanggil “jutawan tanpa bilion”. Chuck Feeney ialah salah seorang daripada beberapa jutawan yang telah menyerahkan kekayaannya kepada badan amal semasa hayatnya. Menurutnya, beliau memerlukan banyak wang supaya beliau boleh membelanjakannya. Untuk memilih penerima dermanya, beliau telah mengembara ke seluruh dunia dan terlibat secara peribadi dengan setiap projek yang meminta geran.

6. George Soros ($531 juta telah didermakan)



Agensi derma beliau, Open Society Foundation merupakan satu rangkaian pemberi geran (grantmaking). Ia menyokong pendidikan, penyelidikan saintifik, kesihatan awam. Yayasan ini juga membiayai kumpulan masyarakat sivil di seluruh dunia. Soros sering dikritik kerana memberi sokongan kewangan kepada media. Beliau mempertahankan dirinya dengan alasan kebebasan untuk bersuara dan ketelusan, tetapi sebenarnya, beliau membayar mereka untuk bekerja dengannya.

7. Michael Bloomberg ($600 juta).


Bekas Datuk Bandar New York ini telah menderma sejumlah besar wang kepada lebih daripada 850 organisasi, terutamanya projek-projek yang membangunkan penjagaan kesihatan dan perlindungan alam sekitar.

8. Bill dan Melinda Gates ($2.142 bilion).


Mereka kini membiayai penjagaan kesihatan, pembangunan untuk mengurangkan kemiskinan melampau di negara-negara membangun (bantuan kemanusiaan) dan banyak lagi. Pada tahun 2010, bersama-sama dengan Buffet, beliau memulakan Giving Pledge. Ia merupakan satu kempen untuk menggalakkan orang kaya memberi sumbangan daripada majoriti kekayaan mereka kepada sebab-sebab untuk derma

9. Warren Buffet ($2.861 bilion)


Beliau merupakan kawan dan rakan niaga keluarga Gates yang menyokong yayasan mereka. Beliau telah menyerahkan lebih daripada $30 bilion untuk kebajikan. Beliau menulis wasiat yang menyatakan bahawa beliau berjanji untuk meninggalkan yayasan kebajikan dengan 99% daripada kekayaannya.

Fakta luar biasa. Tidak semua jutawan sanggup menyertai Giving Pledge. Tidak semua jutawan mahu menyerahkan sebahagian daripada kekayaan mereka. Mark Zuckerberg, Carlos Slim dan beberapa jutawan lain sentiasa tergolong dalam senarai teratas dermawan paling rajin menderma; tetapi pada setiap tahun, senarai jutawan yang paling pemurah tidak menunjukkan banyak perubahan.

Kesimpulan, saya ingin ingatkan satu kebenaran umum: jutawan tidak dilahirkan, tetapi dibentuk. Jadi, teruskan usaha!

Walaupun mempunyai kemahiran keusahawanan itu penting untuk sampai ke puncak Olympus perniagaan, ciri-ciri yang utama adalah keazaman, fleksibiliti dan kebolehan membuat hubungan.

Kadangkala, mencari tempat dalam hidup tidaklah mengambil masa yang lama. Tetapi, perniagaan yang dimulakan oleh seorang boleh dikendalikan oleh anak-anak mereka. Perniagaan keluarga dibangunkan dalam masa yang lama, tetapi terdapat juga cara lain. Kadang-kadang anda hanya perlu selangkah di hadapan: melihat sfera yang memberi jaminan, tidak takut mengambil risiko dan dapat mencari sesuatu yang akan menarik orang ramai. Saya dengan ikhlas berharap yang anda akan dapat menemui tempat anda dalam hidup, mencari aktiviti menyeronokkan yang akan memberi anda keuntungan sebenar. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini