Harga minyak AS negatif, tidak bermakna keadaan sama di seluruh dunia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak AS negatif, tidak bermakna keadaan sama di seluruh dunia


KUALA LUMPUR: Kejatuhan harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) di bawah paras sifar tidak mencerminkan kedudukan pasaran minyak secara keseluruhannya, demikian kata Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee.

Beliau berkata, meskipun kejatuhan teruk dalam sejarah bagi harga WTI itu turut menjejaskan sentimen pelaburan global, namun ia bukan menandakan dunia akan berakhir.

Sebaliknya ia hanya membabitkan kontrak hadapan Mei saja, yang mana kontrak hadapan WTI bagi Jun dan kontrak penanda aras minyak antarabangsa, Brent masih didagangkan positif.

Beliau menjelaskan, kejatuhan harga kontrak Mei itu didorong sebahagian besarnya oleh kekurangan tempat untuk menyimpan minyak susulan kapasiti penyimpanan kini menghampiri kapasiti penuh kerana kekurangan permintaan berikutan impak penularan COVID-19.

“Kontrak hadapan Mei akan tamat tempoh hari ini (21 April), bermakna pelabur yang sudah membuat pembelian kontrak berkenaan terpaksa membayar dan menerima penghantaran komoditi itu.

“Penyimpanan di AS, nampaknya menghampiri kapasiti penuh kerana inventori capai paras puncak berikutan kekurangan permintaan yang disebabkan oleh COVID-19. Jika gagal mendapat ruang untuk simpanan minyak, pembelian adalah tidak bermakna,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Lee berkata, selagi permintaan kekal lemah dan pembeli minyak tidak dapat mencari ruang penyimpanan yang mencukupi, harga kekal dalam tekanan.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat, peningkatan risiko kejatuhan harga minyak mentah AS itu kepada pasaran aset lain dijangka terhad memandangkan harga negatif itu hanya berlaku kepada kontrak Mei dan ia membabitkan jumlah dagangan yang sangat rendah.

Namun begitu, katanya, ia kekal menjejaskan risiko sentimen buat masa ini.

Sementara itu, Penganalisis Oilprice.com, Nick Cunningham, berkata kejatuhan harga WTI itu mencerminkan pedagang meninggalkan kontrak Mei dan beralih kepada kontrak hadapan Jun.

Beliau berkata, dagangan kontrak Mei menjadi kurang relevan memandangkan tumpuan kini lebih kepada kontrak Jun yang didagangkan pada paras AS$20 setong pada Isnin.

“Dengan kontrak hadapan tamat, ia akan bersatu dengan realiti pasaran fizikal. Harga menjadi negatif (kontrak Mei) kerana pasaran fizikal di Oklahoma dan Texas terdapat lebihan.

“Tidak ada orang yang mahukan penghantaran WTI secara fizikal untuk Mei, dan pilihan tempat simpanan yang kurang di beberapa tempat, peniaga menjual pegangan mereka, menjual kontrak dengan potongan harga yang ‘sangat gila’,” katanya.

Pada dagangan hari ini di Asia, harga WTI bagi penghantaran Mei berada pada paras AS$1.10 setong selepas jatuh ke paras terendah tidak pernah berlaku sebelum ini, -AS$37.63 di New York berikutan pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi global.

Penjualan besar-besaran dalam kontrak hadapan Mei berikutan kontrak itu akan tamat tempoh hari ini, yang bermakna pedagang perlu mencari pembeli untuk memegang minyak fizikal, yang mana ia adalah sesuatu yang sukar kerana penyimpanan menghampiri kapasiti penuh.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini