Harga minyak dunia jatuh mendadak


SINGAPURA: Harga minyak jatuh mendadak hari ini selepas mesyuarat untuk membincangkan pemotongan pengeluaran di antara Pertubuhan Negara Pengeskport Minyak (OPEC) dan sekutu-sekutunya ditangguhkan.

Ia sekali gus memudarkan harapan tindakan segera untuk menyokong pasaran tenaga yang terjejas dengan COVID-19.

Penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate menjunam lapan peratus sewaktu dibuka di Asia tetapi kembali naik sedikit dan didagangkan 5.7 peratus lebih rendah, pada AS$26.72 setong.

Minyak mentah antarabangsa Brent mentah turun 4.3 peratus untuk didagangkan pada AS$32.64 setong.

Harga minyak telah jatuh ke paras yang tidak pernah dilihat selama bertahun-tahun ini disebabkan oleh pandemik coronavirus dan perang harga antara Russia dan Arab Saudi.

Penutupan perniagaan, sekatan perjalanan dan langkah-langkah lain yang dilaksanakan untuk membendung wabak virus telah meruntuhkan permintaan.

Harga komoditi itu melantun semula daripada paras terendah dalam 18 tahun ini pada minggu lalu selepas Presiden AS, Donald Trump mengatakan bahawa Riyadh dan Moscow akan mencapai kata sepakat daripada pertikaian mereka dan bersetuju untuk membuat pemotongan pengeluaran besar.

Namun, penganalisis berasa skeptikal mengenai penyelesaian segera itu dan keraguan mengenainya bertambah apabila pertemuan antara OPEC dan sekutunya, termasuk Russia, telah ditangguhkan.

Mereka dijangka bertemu melalui persidangan video untuk membincangkan pemotongan pengeluaran minyak pada hari ini tetapi mesyuarat itu ditangguhkan ke Khamis, kata kerajaan Azerbaijan pada hujung minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini