Harga minyak hampiri paras terendah 18 tahun, Brent AS$28.31


SINGAPURA: Minyak berlegar di paras rendah beberapa tahun hari ini, dengan minyak mentah WTI mendekati tahap terendahnya sejak 2002, berikutan amaran membimbangkan kejutan permintaan yang dicetuskan virus membayangi pengurangan pengeluaran besar-besaran.

Penanda aras minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate meningkat hampir tiga peratus kepada AS$20.44 setong setelah jatuh di bawah AS$20 setong semalam, harga terendah dalam 18 tahun.

Penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent, juga berdepan penyusutan besar sehari sebelumnya, naik dua peratus kepada AS$28.31 setong.

Harga merosot berikutan pandemik COVID-19 menjejaskan permintaan global, dengan situasi bertambah buruk oleh lebihan bekalan akibat perang harga antara kartel Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Arab Saudi dan Russia.

Kompromi yang dicapai hujung minggu oleh Riyadh, Moscow dan pengeluar minyak mentah lain untuk mengurangkan pengeluaran sekitar 10 juta tong sehari secara ringkas menaikkan harga tetapi rali tidak bertahan lama.

Pelabur bimbang perjanjian itu tidak cukup untuk mengimbangi pengurangan permintaan besar-besaran, kerana kapasiti penyimpanan di seluruh dunia terjejas oleh lebihan bekalan.

Menambah kerisauan peniaga, International Energy Agency (IEA) berkata pada Rabu, bahawa 2020 mungkin akan menjadi "tahun terburuk dalam sejarah" sektor berkenaan.

Bagi 2020 secara keseluruhan, permintaan akan turun sebanyak 9.3 juta tong sehari (mbd), dengan April saja susut 29 mbd dari tahun sebelumnya ke paras kali terakhir dilihat pada 1995, kata IEA dalam laporan bulanan terbarunya.

Bagaimanapun, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran mendapat sokongan dalam perdagangan Asia pada Khamis kerana "condong ke arah kombinasi pengurangan OPEC + yang lebih mendalam dan tindak balas yang lebih terjamin daripada pengeluar G20 untuk mengelakkan kejatuhan lebih lanjut dalam (harga) minyak".

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini