Harga minyak meningkat, ringgit kembali mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak meningkat, ringgit kembali mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila harga minyak dunia terus meningkat berikutan jangkaan persetujuan pengurangan pengeluaran dicapai oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada Khamis, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.3350/3450 berbanding dolar AS daripada 4.3600/3700 pada Isnin.

Ketika ini, harga penanda aras minyak mentah Brent meningkat 2.48 peratus kepada AS$33.87 setong.

Penganalisis kanan pasaran OANDA, Jeffrey Halley berkata, secara umumnya sentimen dalam pasaran kewangan adalah positif apabila berita bahawa situasi terburuk COVID-19 mungkin akan berakhir terus datang dari Eropah dan AS.

“Berita itu menyaksikan peningkatan ekuiti dan juga penggiliran tentatif ke pasaran sedang pesat membangun yang sudah pastinya memberi manfaat kepada ringgit,” katanya.

Halley berkata, walaupun sentimen itu mungkin hanya sementara, tidak diragui bahawa pasaran kewangan mula menunjukkan petanda pemulihan.

“Dalam tempoh beberapa hari yang akan datang, saya tidak akan terkejut sekiranya ringgit terus pulih dan mengukuh ke arah paras 4.3000 (berbanding dolar AS) pada Khamis,” katanya.

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9723/9826 daripada 3.9919/0015 pada Isnin dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0415/0496 daripada 3.0417/0498.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3376/3526 daripada 5.3619/3751 tetapi susut berbanding euro kepada 4.7173/7291 daripada 4.7123/7248.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini