Minyak mentah: Krisis terburuk dalam sejarah - IEA


PARIS: Wabak COVID-19 dijangka menjejaskan permintaan minyak global tahun ini dengan mengurangkan pertumbuhan dalam tempoh sedekad dan bakal menjadikan ‘tahun terburuk dalam sejarah’ sektor berkenaan, kata Pentadbir Tenaga Antarabangsa (IEA).

Permintaan dijangka menyusut pada paras tertinggi sebanyak 9.3 juta tong sehari (mbd) bagi keseluruhan tahun ini, dengan penurunan 29 mbd pada April dan 26 mbd (Mei) sekali gus menjadikannya sebagai angka mengejutkan, kata Pengarah Eksekutif IEA, Fatih Birol.

“Saya percaya dalam tempoh beberapa tahun dan apabila anda memandang tahun 2020, kita akan melihat ia adalah tahun terburuk dalam sejarah pasaran minyak global,” katanya kepada media dalam sidang media.

“Dalam tahun ‘mengerikan’ ini, suku kedua akan menjadi tempoh paling teruk. April pula menjadi bulan terburuk.”

Unjuran data bagi bulan ini pernah berlaku pada 1995, kata Birol yang menggambarkan ia sebagai “Black April dalam sejarah industri minyak’.

Ekonomi global terjejas teruk dengan COVID-19 apabila kebanyakan industri terjejas selepas perniagaan bukan barang penting ditutup dan ratusan juta orang di seluruh dunia dikenakan perintah berkurung.

Pandemik itu membunuh lebih 123,000 orang sejak pertama kali dikesan di China pada Disember.

IEA berkata, langkah pengurangan pengeluaran yang diambil kumpulan OPEC+ dan negara pengeluar minyak lain akan membolehkan permintaan meningkat melebihi penawaran pada separuh kedua tahun ini, dengan anggapan perintah berkurung akan mengekang penyebaran virus.

“Apabila kejatuhan permintaan minyak mula berkurangan dan apabila impak pengurangan pengeluaran menerusi perjanjian OPEC+ dan pengeluar bukan ahli OPEC juga turut berbuat demikian, kita akan mula melihat pemulihan pada separuh kedua tahun ini,” Ketua Bahagian Minyak IEA, Neil Atkinson pada sidang media sama.

“Tetapi jelas perjalanan masih panjang sebelum kita sampai ke tahap itu.”

Secara keseluruhan, pengeluar berusaha untuk mengurangkan bekalan sekitar 12 juta tong sehari pada Mei, kata Atkinson, termasuk 9.7 juta mbd yang dijanjikan oleh kumpulan OPEC +.

Negara-negara G20 telah bersetuju untuk menyokong pemotongan OPEC +.

“Gabungan usaha ini akan membawa pengeluaran kembali ke bawah 90 mbd, yang menjadi tahap pengeluaran dunia yang belum pernah kita lihat sejak 2011,” kata Atkinson.

Selasa lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, pandemik itu menolak dunia ke dalam kemelesetan terburuk dalam tempoh satu abad, dengan pertumbuhan ekonomi menyusut kepada tiga peratus.

Ia bermakna, “COVID-19 mengakibatkan kehilangan pertumbuhan global selama satu tahun dan kehilangan hampir sedekad dalam pertumbuhan pasaran minyak global,” kata Birol.

“Ketidaktentuan yang kita lihat di pasar minyak merugikan ekonomi global pada saat kita paling tidak berkemampuan.”

Harga minyak meneruskan kejatuhan pada Rabu dengan WTI mencecah paras terendah sejak 2002 selepas pengurangan pengeluaran dianggap tidak mencukupi.

Penanda aras kontrak WTI susut AS$19.20 setong, paras terendah dalam tempoh 18 tahun.

Laporan IEA menunjukkan langkah OPEC+ dan G20 ‘tidak dapat menyeimbangkan pasaran dengan segera’.

“Namun, dengan merendahkan paras kemuncak lebihan bekalan dan meratakan lekuk peningkatan bekalan, ia akan membantu sistem kompleks menyerap keburukan dalam krisis ini, yang mana mengakibatkan ketidakpastian dalam pasaran minyak dalam jangka pendek.”

Birol berkata, kejatuhan harga minyak kemungkinan akan menyebabkan ‘penurunan terbesar’ dalam pelepasan emisi tahun global tahun ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini