Pemulihan harga minyak dorong kenaikan ringgit


KUALA LUMPUR: Peningkatan harga minyak mentah yang menggambarkan prospek lebih positif bagi jangka sederhana turut memacu prestasi ringgit yang dibuka 0.23 peratus lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan itu naik 100 mata asas kepada 4.3550/3645 berbanding dolar AS daripada 4.3650/3750 sewaktu ditutup pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axicorp, Stephen Innes, berkata peningkatan ringgit itu berkait rapat dengan prospek kenaikan harga minyak pada jangka sederhana ketika pasaran dilihat mengelak unjuran jangka pendek lebih suram serta mengandaikan pemulihan harga minyak lebih ketara pada suku ketiga tahun ini.

“Ini jelas dapat dilihat dalam saham-saham berkaitan minyak global yang mencatat prestasi lebih baik semalam, disokong oleh dividen tinggi dan jangkaan pembetulan harga minyak yang positif pada suku ketiga 2020,” katanya dalam nota hari ini.

Pada 9.23 pagi, West Texas Intermediate (WTI) yang juga minyak penanda aras pasaran hadapan Amerika Syarikat (AS) bagi global meningkat 1.52 peratus kepada AS$13.99 setong manakala penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent naik 1.67 peratus kepada AS$20.71 setong.

Malaysia adalah pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum dan sebarang pergerakan harga minyak mentah turut memberi pengaruh besar terhadap pengukuhan ringgit.

Selain itu, ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding yen kepada 4.0399/0498 daripada 4.0525/0626 pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0480/0557 daripada 3.0582/0659.

Berbanding euro, ringgit turut naik kepada 4.7086/7198 daripada 4.7400/7517 sebelumnya manakala berbanding pound, ringgit meningkat kepada 5.3649/3771 daripada 5.3964/4106, semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini