Pertikaian AS-Iran lonjak harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pertikaian AS-Iran lonjak harga minyak




SINGAPURA: Harga minyak melonjak apabila ketegangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di rantau Teluk yang kaya dengan minyak mentah semakin meningkat.

Ini sekali gus memberi sokongan kepada pasaran yang terjejas teruk dengan kejutan permintaan dan kebimbangan terhadap ruang penyimpanan yang dicetuskan oleh COVID-19.

Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, meningkat 11.8 peratus kepada AS$22.79 setong dalam dagangan petang ini di Asia.

Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) pula melonjak 14.37 peratus kepada AS$15.76 setong, melanjutkan keuntungan besar daripada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, harga tetap berada pada paras terendah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana perintah berkurung dan sekatan perjalanan untuk memerangi virus itu telah menjejaskan permintaan serta menyebabkan kemudahan penyimpanan dibanjiri lebihan bekalan.

Pasaran mengalami turun naik minggu ini, dengan minyak mentah AS jatuh ke wilayah negatif untuk pertama kalinya kerana pedagang berusaha untuk memindahkan minyak, tetapi tidak dapat mencari pembeli kerana kemudahan penyimpanan mencapai kapasiti.

Phillip Futures menyatakan 'peningkatan risiko di Asia Barat' untuk rali semasa, yang bermula dalam sesi New York pada Rabu selepas AS mengeluarkan ancaman baharu di tengah-tengah ketegangan angkatan tentera laut di Teluk.

Presiden AS, Donald Trump dalam laman Twitternya berkata, beliau telah mengarahkan Angkatan Laut Amerika Syarikat untuk menembak dan menghancurkan mana-manakapal perang Iran jika mereka mengganggu kapal negara itu.

Sementara itu, Iran mengatakan bahawa ia telah berjaya meletakkan satelit ketenteraan pertamanya ke orbit, menjadikannya kuasa dunia yang baru muncul.

Washington mendakwa program angkasa itu adalah untuk melindungi pembangunan peluru berpandu balistiknya.

Teluk adalah pintu masuk utama minyak untuk memasuki pasaran antarabangsa dan peningkatan mendadak pertikaian antara kapal AS dan Iran sebelum ini telah menyaksikan harga minyak meningkat dengan lebih tinggi.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini