Ringgit dibuka rendah, RM4.36 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah, RM4.36 sedolar


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan minggu ini dengan dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi ini berikutan penurunan harga minyak mentah dan pengumuman data ekonomi suku pertama China yang lebih lemah daripada dijangkakan.

Pada jam 9.01 pagi, ringgit dibuka rendah sedikit kepada 4.3680/3780 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3650/3750 Jumaat minggu lalu.

Harga minyak mentah terus tidak menentu meskipun Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari, minggu lalu, apabila pelabur masih bimbang dengan impak daripada pandemik COVID-19.

Pada jam 9.31 pagi, penanda aras harga minyak mentah berada pada AS$27.65 setong, turun 1.53 peratus daripada sesi penutup sebelumnya.

China menyaksikan keluaran dalam negara kasarnya susut 6.8 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2020, lebih lemah daripada jangkaan 6.5 peratus analisis oleh Reuters.

Sehubungan itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran GlobalAxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit dijangka kekal sederhana sehingga harga minyak meningkat semula.

“Dan penggunaan China serta eksport kembali rancak semula,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada pembukaan hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding yen kepada 4.0482/0586 daripada 4.0465/0562 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4521/4659 daripada 5.4200/4342.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7441/7563 daripada 4.7216/7338 dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0668/0755 daripada 3.0621/0702.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini