Ringgit dibuka rendah, RM4.36 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah, RM4.36 sedolar



KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan prestasi berbeza berbanding kenaikan semalam untuk dibuka rendah hari ini susulan kebimbangan yang timbul semula mengenai kesan ekonomi akibat COVID-19, walaupun harga minyak mentah global kembali meningkat.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan susut 70 mata asas ke 4.3620/3720 berbanding dolar AS dari 4.3550/3650 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pelabur, kerana mereka bimbang ia boleh mempengaruhi aktiviti ekonomi negara.

"Kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang kedua COVID-19 juga menjejaskan minat risiko daam pasaran," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan PKP, yang akan berakhir pada 28 April, telah dilanjutkan dua minggu lagi hingga 12 Mei, 2020.

Ia adalah kali ketiga PKP, yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac, dilanjutkan dalam usaha negara memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia, malah perdana menteri tidak menolak kemungkinan PKP dilanjutkan lagi selepas 12 Mei.

Dalam pada itu, penurunan ringgit telah dihadkan oleh harga minyak mentah yang lebih baik dengan penanda aras global, Brent naik 2.48 peratus kepada AS$21.86 setong pada 9.36 pagi, sementara penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.79 peratus kepada AS$16.96 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes, berkata dengan disokong oleh pakej rangsangan ekonomi China dan harga komoditi dijangkakan meningkat semula pada suku ketiga 2020, ringgit diunjurkan menutup dagangan minggu ini dengan prestasi lebih positif.

Pada pembukaan, unit tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0578/0659 daripada 3.0559/0640 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0494/0598 daripada 4.0466/0571.

Ringgit lemah berbanding pound kepada 5.3879/4012 daripada 5.3784/3921 semalam serta turun berbanding euro kepada 4.6961/7073 daripada 4.6912/7037.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini