Ringgit teruskan kenaikan berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan kenaikan berbanding dolar



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disokong oleh kestabilan harga minyak, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan itu meningkat 100 mata asas kepada 4.3550/3650 berbanding dolar AS daripada 4.3650/3750 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pelabur menarik nafas lega bukan sahaja disebabkan kestabilan dan peningkatan harga minyak, malah berikutan penyusutan dolar AS di mana kedua-duanya adalah positif kepada sentimen risiko global.

Setakat ini, harga penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent menokok 9.57 peratus kepada AS$22.32 setong berbanding sesi sebelumnya.

Malaysia adalah pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum, justeru, pergerakan harga minyak mentah memberi pengaruh yang besar kepada pengukuhan ringgit.

Innnes berkata pengukuhan ringgit juga disokong oleh harga saham tenaga yang lebih tinggi dan peningkatan mudah tunai dolar AS.

Mudah tunai dolar AS adalah merujuk kepada jumlah dolar yang tersedia dalam sistem perbankan komersial.

Rizab Persekutuan (Fed) AS meminjamkan dolar kepada bank pusat menerusi pengaturan swap, di mana bank-bank perdagangan di negara-negara lain boleh menggunakannya sebagai sumber pendanaan.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0466/0571 daripada 4.0525/0626 pada Rabu dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0559/0640 berbanding 3.0582/0659.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6912/7037 daripada 4.7400/7517 sebelum ini, manakala ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3784/3921 daripada 5.3964/4106 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini