Ringgit dibuka tinggi, RM4.33 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi, RM4.33 sedolar



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh sentimen global yang lebih baik dalam pasaran ekuiti dan komoditi menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) + hari ini.

Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.3300/3400 berbanding dolar US daripada 4.3450/3545 semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global, Stephen Innes, berkata berdasarkan kesetaraan ringgit dengan harga minyak dan sentimen risiko global baru-baru ini, mata wang tempatan akan mencatat prestasi yang baik hari ini.

“Dengan pelabur menantikan keputusan mesyuarat OPEC +, ringgit dijangka diniagakan dalam persekitaran yang optimis hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perbincangan mengenai kemungkinan membuka semula beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS) telah menyumbang kepada sentimen positif kepada pasaran ekuiti.

Awal minggu ini, jumlah kematian akibat COVID-19 yang rendah di New York dan New Jersey telah membawa kepada peningkatan indeks ekuiti utama di AS sebanyak lebih tujuh peratus.

“Bagaimanapun, jumlah kes baharu yang disahkan masih meningkat dan setakat ini, tiada tanda-tanda vaksin atau antibodi telah ditemui.

“Sehubungan itu, kami masih berpendapat pasaran tukaran asing (forex) masih goyah. Mungkin, ringgit akan masih berada sekitar RM4.35 berbanding dolar AS dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound.

Ia naik berbanding euro kepada 4.7076/7202 daripada 4.7200/7320 semalam, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0386/0465 daripada 3.0406/0487.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.9721/9824 daripada 3.9906/0005, bagaimanapun susut berbanding pound kepada 5.3744/3885 daripada 5.3552/3682 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini