Ringgit dijangka terus mengukuh minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka terus mengukuh minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan didorong jaminan kerajaan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi terpilih dibuka semula secara berperingkat, kata penganalisis.

Penganalisis Pasaran, FXTM, Han Tan berkata ringgit juga dijangka menguji paras 4.25 berbanding dolar AS sekiranya mata wang negara maju itu terus merekodkan prestasi sederhana atau wujudnya minat risiko yang lebih ketara dalam pasaran global.

“Bagaimanapun, penghindaran risiko yang meningkat secara mendadak boleh menyebabkan ringgit kembali semula di atas paras 4.35 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pengeluaran perindustrian Malaysia bagi Februari 2020 diunjur mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun pada 0.9 peratus, namun jika data itu menunjukkan penguncupan, ia dijangka tidak menjejaskan sentimen terhadap aset Malaysia.

Sentimen risiko juga boleh dipengaruhi oleh angka laporan daripada ekonomi utama minggu depan, memandangkan pelabur turut mempertimbangkan tanda-tanda tidaktentuan ekonomi selain langkah sokongan yang telah diperkenalkan pihak penggubal dasar berikutan wabak COVID-19, katanya.

“Minat pelabur terhadap risiko akan diuji dengan data akan datang seperti laporan jualan runcit AS bagi Mac yang diunjurkan susut ketara selain angka pertumbuhan ekonomi China untuk suku pertama tahun ini yang mungkin menyaksikan penguncupan,” katanya.

Han berkata, tanda-tanda kemerosotan yang cepat di ekonomi terbesar dunia itu boleh meningkatkan penghindaran risiko dalam pasaran, khususnya jika langkah rangsangan ekonomi semasa susulan COVID-19 dianggap tidak mencukupi.

Sementara itu, peniaga berkata semua tumpuan kini terarah kepada hasil mesyuarat menteri-menteri tenaga G20 yang berlangsung secara maya pada Jumaat selepas langkah OPEC dan sekutunya, diketuai Rusia, untuk mengurangkan pengeluaran minyak bagi meningkatkan harga tidak dapat diteruskan ekoran Mexico menolak cadangan itu.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.3050/3150 pada Jumaat daripada 4.3520/3620 ketika Jumaat minggu lalu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar perubatan mengenai wabak COVID-19, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020.

Beliau juga berkata, kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP.

Sebuah jawatankuasa khas kabinet yang dipengerusikan bersama menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta menteri kanan merangkap menteri pertahanan akan diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih, katanya menerusi satu perutusan khas.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, unit tempatan diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0417/0498 daripada 3.0319/0399 pada minggu sebelumnya, serta naik berbanding yen kepada 3.9696/9799 daripada 4.0118/0221.

Mata wang tempatan rendah berbanding euro kepada 4.7114/7236 daripada 4.7049/7175 pada Jumaat minggu lepas dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3709/3851 daripada 5.3495/4631.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini