Ringgit diniaga rendah hari kedua berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diniaga rendah hari kedua berturut-turut



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di susulan reaksi kurang mengalakkan terhadap perjanjian pengeluaran minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum + (OPEC+) dan data imbangan perdagangan China yang lemah bagi Mac.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3200/3280 yang dicatatkan pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorpglobal, Stephen Innes, berkata meskipun perjanjian pengurangan minyak OPEC+, pasaran masih bimbang terhadap permintaan di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

“Ini menjejaskan aliran masuk tempatan. Ringgit perlukan harga minyak yang tinggi kerana ia adalah penstabil auto unit tempatan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Innes berkata prestasi pasaran mata wang Asia bercampur-campur selepas China mencatatkan imbangan perdagangan rendah, walaupun kedua-dua eksport dan importnya lebih baik daripada yang dijangkakan dari segi peratusan.

Imbangan perdagangan China susut kepada AS$19.9 bilion pada Mac, manakala eksport turun 6.6 peratus dari segi dolar daripada tahun sebelumnya dan import jatuh 0.9 peratus.

Negara itu mencatatkan gabungan 17.2 peratus penguncupan bagi eksport Januari dan Februari, manakala import turun 4.0 peratus.

Innes berkata, peniaga dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menunggu China mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar bagi suku pertamanya pada Jumaat ini serta data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian bulan Mac AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar AS kepada 3.0558/0639 daripada 3.0513/0582 pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.7388/7514 daripada 4.7252/7344.

Ringgit juga lemah berbanding yen Jepun kepada 4.0290/039 daripada 4.0011/0096 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4342/4489 daripada 5.4026/4139 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini