Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Ini berikutan pelabur akan memantau rapat perkembangan berkaitan COVID-19, ketegangan perdagangan AS-China dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2020.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata tumpuan turut diberikan kepada jualan runcit dan pengeluaran industri China yang akan dikeluarkan pada Jumaat minggu depan yang dijangka kukuh memandangkan situasi yang telah pulih di negara itu.

"Dagangan dijangkakan tidak stabil pada awal minggu depan menjelang pertemuan ketua perdagangan AS-China, namun, seharusnya tidak terlalu banyak halangan kerana China dijangka mengesahkan obligasinya untuk memenuhi komitmen perjanjian perdagangan terhad bagi fasa satu.

"Saya berpendapat ringgit dijangka diniagakan secara bersifat defensif namun dijangka meningkat berikutan harga minyak mentah yang terus stabil dan data China yang positif pada minggu itu," katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan data KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020 pada 13 Mei ini.

Seorang lagi peniaga berkata, KDNK negara bagi suku pertama dijangkakan lemah memandangkan aktiviti ekonomi yang merosot ketara akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan virus itu.

Penularan jangkitan COVID-19 yang meluas dan dikesan di negara ini buat pertama kalinya pada Januari lalu menggesa kerajaan untuk memperkenalkan PKP di mana rakyat perlu kekal berada di rumah dan menutup operasi perniagaan memandangkan Malaysia berusaha untuk melandaikan graf jangkitan virus itu.

Pandemik itu turut menyebabkan kerajaan menutup sempadan dan menjadikan sektor pelancongan yang membawa keuntungan turut terhenti.

"Sekatan keluar masuk yang berlaku kepada hampir seluruh negara di dunia telah mengurangkan aktiviti perniagaan dan menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, berasaskan Khamis ke Jumaat, mata wang tempatan kebanyakannya ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding dolar AS kepada 4.3310/3370 daripada 4.2950/2050 pada Khamis minggu lalu dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0645/0696 daripada 3.0461/0543.

Mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0716/0780 daripada 4.0253/0358 dan rendah berbanding euro kepada 4.6948/6022 daripada 4.6639/6765.

Bagaimanapun unit tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.3626/3718 daripada 5.3675/3808.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini