Ringgit rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan baharu membabitkan vaksin COVID-19 walaupun sentimen positif terus mempengaruhi pasaran kewangan serantau, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.3450/3550 berbanding 4.3440/3510 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berikrar untuk terus menerajui usaha global menangani pandemik COVID-19 selepas Presiden AS Donald Trump mengugut untuk memotong sumbangan dana dan keluar daripada agensi dunia itu jika enggan meminda prosedurnya dalam masa 30 hari.

Selain itu, pembeli India telah menyambung semula pembelian minyak sawit Malaysia selepas terbabit dalam pertikaian diplomatik dengan pembelian dipacu oleh penyusutan inventori domestik dan harga diskaun, kata sumber dagangan.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0685/0764 daripada 3.0648/0706 pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 4.0625/0361 daripada 4.0387/0456.

Ringgit juga turun berbanding euro pada 4.7530/7652 daripada 4.7179/7283 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3291/3431 daripada 5.3166/3269 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini