Ringgit berbanding dolar AS dibuka tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berbanding dolar AS dibuka tidak berubah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kekurangan permintaan ketika pelabur terus menunggu pemangkin pasaran.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2700/2790 yang menyamai paras sewaktu ditutup semalam.

Dalam pada itu, seorang penganalisis berkata penyelidik menemui data menggalakkan yang menunjukkan Dexamethasone - sejenis ubat antiradang dapat membantu menangani COVID-19.

Perkembangan itu berlaku ketika jumlah jangkitan baharu di Beijing mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya gelombang pandemik terbaharu.

"Pasaran akan terus terjejas selagi tiada tanda-tanda penularan itu akan reda serta bukti keberkesanan Dexamethasone di kawasan lain," katanya.

Selain itu, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, telah melepasi paras US$40 setong dan dijangka pulih jika momentum ekonomi dunia terus meningkat.

Bagaimanapun, penganalisis menganggarkan pemulihan akibat penyusutan permintaan minyak mentah dunia itu akan memakan masa selama dua tahun.

Selain itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0647/0718 daripada 3.0713/0770 semalam dan tidak berubah berbanding yen Jepun pada 3.9765/9860.

Berbanding pound Britain, ringgit naik kepada 5.3665/3796 daripada 5.4058/4151 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8123/8241 daripada 4.8388/8480 semalam. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini