Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menjejaki prestasi lemah harga minyak mentah, kata penganalisis.

Pada penutup, ringgit disebut harga pada 4.2720/2800 berbanding dolar AS daripada 4.2640/2700 yang direkodkan pada Jumaat.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata ringgit diniagakan agak neutral pada Selasa berikutan harga minyak yang terus berubah-ubah pada kebanyakan sesi apabila pelabur cuba mengambil kedudukan sejajar dengan laporan data inventori minyak AS pada minggu ini.

Harga minyak mentah dijangka menyaksikan dagangan yang turun naik pada minggu ini.

Bagaimanapun, beliau berkata inisiatif rangsangan kerajaan iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion yang diumumkan baru-baru ini, dijangka membendung ketidaktentuan pasaran termasuk pasaran mata wang.

Minyak mentah Brent merosot kepada 1.86 peratus kepada AS$40.04 setong hari ini.

Di sebalik penurunan harga minyak, minyak penanda aras itu kini menunjukkan tanda-tanda peningkatan selepas persetujuan OPEC+ melanjutkan perjanjian pemotongan bekalan sedia ada untuk fasa pertama bagi tempoh sebulan lagi.

Sebelum ini OPEC+ bersetuju mengurangkan pengeluaran pada paras 9.7 juta tong sehari pada Mei dan Jun untuk menaikkan harga.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang penanda aras kecuali euro dengan peningkatan kepada 4.8124/8227 daripada 4.8328/8409 pada Jumaat lalu.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0661/0723 daripada 3.0604/0658, rendah berbanding pound Britain kepada 5.4007/4121 daripada 5.3859/3947 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.9589/9674 daripada 3.9019/9085 sebelum ini.

Pasaran ditutup pada Isnin berikutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini