Ringgit ditutup rendah, RM4.273 sedolar



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila pelabur kembali mencari mata wang selamat berikutan minat risiko yang menurun.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.2730/2780 berbanding 4.2650/2700 pada paras penutup Jumaat lalu.

Menurut laporan, sentimen positif terhadap dolar AS muncul selepas pelabur menilai semula unjuran ekonomi yang negatif oleh Rizab Persekutuan AS pada mesyuaratnya minggu lalu, di samping kebimbangan akan gelombang kedua pandemik COVID-19.

Ketua Pakar Strategi Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata harga minyak yang lemah juga menjejaskan prestasi ringgit.

Penanda aras minyak mentah Brent bagi kontrak Ogos turun 0.72 peratus untuk diniagakan pada AS$38.45 setong.

"Selain itu, saya fikir pelabur sedang menilai semula data COVID-19 dan berusaha merangka pelan baharu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0620/0662 daripada paras penutup 3.0706/0753 pada Jumaat tetapi meningkat kepada 5.3571/3655 daripada 5.3944/3024 berbanding pound.

Ringgit turun berbanding yen kepada 3.9816/9870 daripada 3.9663/9717 tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.8067/8128 daripada 4.8280/8353. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini