Ringgit ditutup rendah, RM4.278 sedolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah, RM4.278 sedolar



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan permintaan susulan sentimen ekonomi lemah di tengah-tengah peningkatan kadar pengangguran di negara ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.2780/2830 daripada paras penutup 4.2700/2790.

Jabatan Perangkaan dalam Perangkaan Utama Tenaga Buruh Malaysia bagi April, 2020 baru-baru ini melaporkan kadar pengangguran meningkat kepada 5.0 peratus apabila jumlah penganggur melonjak 48.8 peratus kepada 778,800 orang berbanding setahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penutupan operasi kebanyakan perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga April 2020, menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pencari kerja sukar untuk mendapat kerja.

Beliau berkata, populasi pekerja susut 156,400 orang (-1.0 peratus) tahun ke tahun kepada 14.93 juta orang pada April.

Dari sudut politik, penganalisis itu berkata, berita bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbang mengadakan pilihan raya mengejut, kemungkinan pada Mac depan, untuk mendapatkan mandat lima tahun baharu daripada rakyat, juga mempengaruhi sentimen pelabur.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0664/0709 daripada 3.0713/0770 dan mengukuh berbanding 5.3616/3692 daripada 5.4058/4151 berbanding pound pada Selasa.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.8033/8107 daripada 4.8388/8480 tetapi susut berbanding yen kepada 3.9844/9894 daripada 3.9765/9860. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini