Ringgit terus melonjak



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan untuk hari keempat berturut-turut hari ini di belakang dolar AS yang lebih lemah, selepas harga minyak melonjak dengan Brent mentah mencecah paras AS$40 setong di hadapan mesyuarat OPEC+.

Pada penutup, ringgit disebut harga pada 4.2590/2660 berbanding dolar AS daripada 4.2750/2800 yang dicatatkan semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes memberitahu Bernama, peningkatan sentimen risiko global terhadap senario harga minyak yang lebih tinggi menghulurkan kesan positif ke atas mata wang tempatan.

"Kesan kenaikan harga minyak yang lebih tinggi memberikan rangsangan kepada mata wang yang menghasilkan nilai yang tinggi dan negara pengeluar komoditi.

"Walaupun ringgit tidak dianggap sebagai mata wang bernilai tinggi, nota sekuriti Kerajaan Malaysia bertempoh 10 tahun masih hampir dengan tiga peratus dan menjadi tarikan kepada pelabur yang mahu mencari keuntungan berbanding keadaan dolar AS yang semakin tidak bermaya," katanya.

Penanda aras global Brent mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan hari ini berikutan laporan yang menunjukkan OPEC+ sedang menuju ke arah pelanjutan pemotongan pengeluaran.

Beliau menegaskan harga Brent kini melonjak dua kali ganda daripada paras terendah yang direkodkan pada April lalu.

OPEC dan sekutunya dijangka akan bermesyuarat esok.

Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding dengan sekumpulan mata wang lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0480/0537 daripada 3.0503/0547 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9149/9224 daripada 3.9686/9736.

Mata wang tempatan itu turut naik berbanding pound British kepada 5.3638/3743 daripada 5.3715/3787 dan bertambah baik berbanding euro kepada 4.7769/7856 daripada 4.7790/7859.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini