Ringgit dibuka lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas harga minyak mentah semalaman melonjak berikutan pengurangan dalam laporan inventori minyak mentah.

Pada 9.04 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2800/2850 berbanding dolar AS daripada 4.2825/2875 semasa ditutup semalam.

Kajian Institut Petroleum Amerika (API) menganggarkan pengurangan yang ketara dalam inventori minyak mentah sebanyak 8.156 juta tong bagi minggu berakhir 26 Jun, lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata sentimen risiko yang lebih baik dan harga minyak yang mengukuh telah mendorong ringgit kepada peningkatan bulanan yang paling ketara pada tahun ini berikutan mata wang Asia kembali fokus, disokong oleh data China yang lebih baik.

"Saya mencadangkan antara 4.2700 dan 4.2850 untuk ringgit hari ini, berikutan saya berpendapat lebih meningkat berbanding lemah, dengan harga minyak yang stabil dan sentimen risiko yang lebih baik pada permulaan bulan ini," katanya kepada Bernama.

Minyak mentah Brent, bagaimanapun, rendah kepada AS$41.15 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat kepada AS$39.79 setong.

Berbanding sekumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Unit tempatan susut berbanding pound kepada 5.3004/3083 daripada 5.2525/2603 semalam, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0707/0745 daripada 3.0646/0691 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8060/8129 daripada 4.7977/8050.

Ringgit, bagaimanapun, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9615/9672 daripada 3.9726/9784.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini