Ringgit tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh dagangan harga minyak mentah yang stabil walaupun lengang, kata penganalisis.

Setakat 9 pagi ini, unit tempatan meningkat kepada 4.2600/2650 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.2720/2770 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata industri dilihat lebih tertumpu pada pemacu jangka sederhana dan panjang bagi minyak mentah, namun pada masa sama, peniaga memantau tanda-tanda reaksi terhadap data pengeluaran AS serta laporan mengenai jumlah kes baharu COVID-19.

"Brent dilihat ditutup dalam julat AS$40 hingga AS$45 setong, sementara risiko jangka pendek tetap cenderung menyusut, ini mungkin petanda positif bagi minyak mentah tanpa mengambil kira sebarang pencapaian penghasilan ubat atau terapeutik bagi COVID-19," katanya.

Beliau berkata bagi peringkat tempatan, memandangkan pasaran mula menjangkakan pengurangan kadar faedah Bank Negara Malaysia pada September, ini seharusnya menggalakkan aliran masuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

"Hasil sebenar MGS bertempoh 10 tahun dilihat amat menarik jika dibandingkan dengan bon AS yang setara. Saya berpandangan ringgit akan mencapai prestasi lebih baik hari ini susulan dolar AS yang lebih lemah secara keseluruhan di seluruh papan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9698/9756 daripada 3.9703/9768 ketika ditutup pada Rabu serta rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0614/0657 daripada 3.0600/0642.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.8279/8352 daripada 4.8167/8236 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.3727/3807 daripada 5.3503/3587.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini