Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini ketika pasaran dilihat bersedia untuk menerima kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) pada September ini, kata seorang penganalisis.

BNM dijangka mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 10 September 2020.

Setakat 6 petang, ringgit mengukuh pada paras 4.2720/2770 berbanding dolar AS daripada 4.2750/2800 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata kemungkinan pengurangan OPR pada September itu dianggap memberi kelebihan kepada aliran masuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kerana pulangan sebenar MGS 10 tahun itu kelihatan menarik berbanding bon AS.

"Saya berpendapat ringgit mempunyai banyak ruang untuk meningkat, namun ini memerlukan faktor gabungan kenaikan harga minyak serta data ekonomi domestik yang lebih baik bagi membolehkan ringgit mencecah paras bawah 4.25 dan seterusnya 4.20 (berbanding dolar AS).

"Ini masih sukar berikutan ancaman COVID-19 terus ketara ketika dagangan musim panas bermula. Malah, terdapat ketidaktentuan yang ketara membabitkan fasa berikutanya bagi pemulihan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit mencatat prestasi yang bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama global.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0600/0642 daripada 3.0614/0659 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.8167/8236 daripada 4.8188/8257, semalam.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3503/3587 daripada 5.3326/3410 serta rendah berbanding yen kepada 3.9703/9768 daripada 3.9679/9729, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini